PERTEMUAN: Hajiji menerima cenderamata daripada Eldeen Husaini semasa menerima kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan keselamatan di pantai timur Sabah berada pada tahap tertinggi tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku selama beberapa tahun.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, beliau gembira mendengar Sabah terus menjadi destinasi penting bagi pelawat Perancis, menjadikannya yang ketiga bagi ketibaan pelawat Eropah ke Sabah, selepas United Kingdom dan Jerman.
Ketibaan pelawat Perancis pada suku pertama tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 26.8 peratus kepada 2,116 orang berbanding 1,669 untuk tempoh yang sama pada tahun lalu, dan jumlah ini terus meningkat.
Hajiji yakin promosi yang berterusan dengan lebih proaktif dan agresif sudah pasti akan membantu dalam peningkatan kehadiran pelawat Perancis ke Sabah.
Sementara itu, Eldeen Husaini yang berasal dari Kuala Lumpur dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis pada April 2024. Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja.
Hajiji dan Eldeen mengadakan perbincangan mengenai pelbagai peluang kerjasama strategik antara Sabah dan Perancis, termasuk dalam bidang pelancongan yang akan membawa manfaat bersama kepada rakyat negeri ini.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffery Jimit; Pengarah Promosi Antarabangsa (Amerika, Eropah, Oceania) Tourism Malaysia Akbal Setia; dan Pengarah Tourism Malaysia Paris Zalina Ahmad.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online