Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mencatatkan sejumlah kesalahan utama di jalan raya dengan lebih muatan dan tidak memakai tali pinggang keledar menjadi kesalahan tertinggi.
Sepanjang operasi yang berlangsung dari 20 Januari hingga 4 Februari 2025, sebanyak 147 saman dikeluarkan kerana lebih muatan dan 52 saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar.
Tujuh kesalahan utama lain termasuk memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, dan memotong di garisan berkembar.
Selain itu, JPJ Kelantan telah memeriksa 16,577 kenderaanΒ dan 3,475 kenderaan dikenakan tindakan.
Selain saman, 6,434 notis dan 26 kenderaan telah disita. Seorang pemandu bas turut dikesan positif ujian air kencing dan diambil tindakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan.
Operasi ini juga melibatkan pemeriksaan menggunakan kenderaan tanpa logo dan alat perakam untuk memastikan kesalahan dikesan dengan lebih efektif.
Sumber: Sinar Harian