Ayer Keroh – “Terima kasih Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan nasib sidang-sidang kampung dan sudi memberikan elaun tambahan tahunan kepada kami,” kata Sidang Bukit Cina, Kasmuri Kamsoh,77.
“Syukur Alhamdulillah rezeki diberikan ini, biarpun kita belum tahu perinciannya namun berita ini sedikit sebanyak memberi khabar gembira kepada tok sidang di negeri ini.
“Menjadi sidang ini banyak tanggungjawabnya, biarpun kadang-kadang elaun diberikan tidak besar tetapi amanah diberikan perlu dilaksanakan sebaiknya.
“Jadi saya pesan kepada semua sidang-sidang yang masih muda, kerjalah dengan amanah kerana tugas kita adalah untuk membantu masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Bagi Sidang Kampung Morten, Azman Dollah, 58, dia sangat bersyukur kerana kebajikan sidang kampung di Melaka turut ditekankan dalam pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri masih memikirkan nasib tok sidang di negeri ini, ini juga dikira sebagai penghargaan kepada kami.
“Sebagai sidang banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, diharap elaun yang bakal diberikan nanti sedikit sebanyak dapat membantu kami (tok sidang) ini,” katanya.
Sumber : Melaka HariIni (MHI)