KOTA KINABALU: Majikan di negeri ini yang dikesan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) akan didakwa sejurus Program Regularisasi Bersasar yang dilaksanakan ketika ini tamat pada Disember depan.
Program berkenaan tertumpu kepada sektor perladangan dan pertanian berikutan ramai pekerja asing, khususnya dari Indonesia dan Filipina dikenal pasti diambil bekerja.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata bagi mengelak tindakan itu, majikan dalam kedua-dua sektor berkenaan digesa tampil segera untuk menguruskan pekerja asing masing-masing.
“Jabatan ini ingin menegaskan dan memohon kerjasama semua pihak yang terlibat khususnya majikan agar tampil dengan segera dan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap program ini.
“Kejayaan pelaksanaan Program Regularisasi Bersasar ini juga adalah tertakluk kepada pihak kedutaan untuk mengeluarkan pasport tanpa sebarang halangan.
“Selepas program ini dijalankan, JIM akan melaksanakan operasi secara besar-besaran dan mana-mana pihak majikan yang gagal untuk hadir ke pejabat ini sehingga Disember 2024, akan didakwa.
“JIM sama sekali tidak akan berkompromi dengan kehadiran PATI di Malaysia khususnya di Sabah yang cuba menggugat kedaulatan negara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Katanya, JIM membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan program itu yang sudah dimulakan pada 2019 dengan statistik ketika itu pekerja asing didaftar ketika itu seramai 123,575 orang.
Bagaimanapun, katanya program itu tertangguh pada 2020 akibat pandemik COVID-19 selain tidak mendapat kerjasama baik daripada majikan dan pihak kedutaan dengan alasan tidak cukup bekalan pasport kepada pekerja yang terlibat.
Jelasnya, tumpuan utama program itu adalah untuk mengurangkan keberadaan PATI di Sabah, khususnya dalam sektor perladangan dan pertanian.
“Program ini dilaksanakan dengan persetujuan kerajaan negeri dan persekutuan yang mana JIM hanya mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk dua sektor berkenaan berdasarkan surat kelulusan yang dikeluarkan kerajaan negeri kepada majikan atau syarikat.
“Sebagaimana yang saya maklumkan, ada seramai 123,575 orang yang diluluskan kuota pada 2019, bagaimanapun masih lagi berbaki sebanyak 26,925 yang belum tampil untuk membuat permohonan PLKS ini.
“Justeru, pada hari ini adalah untuk memberi mesej jelas kepada pihak majikan bahawa mereka hendaklah tampil berurusan dengan pihak kerajaan negeri bagi mendapatkan kuota berapa ramai pekerja asing yang mereka perlukan,” katanya.
Jelasnya, majikan tidak boleh berdiam diri, sebaliknya bertindak segera berurusan dengan kerajaan negeri sebelum pihak JIM mengeluarkan PLKS kepada pekerja mereka.
Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing yang dipengerusikan bersama Ketua Menteri Sabah dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini bersetuju agar kerajaan negeri dibenarkan untuk membuat pendaftaran pekerja asing di sektor perladangan dan pertanian.
“Justeru kita mengharapkan majikan terlibat memberi kerjasama dan kena tampil berurusan dengan pihak kerajaan negeri sebelum berakhir Disember tahun ini,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: INFO X