Keputusan Malaysia untuk membawa 127 rakyat Palestin yang cedera dan keluarga mereka ke negara ini untuk mendapatkan rawatan perubatan, bukan sahaja selaras dengan dasar negara sejak sekian lamanya terhadap Palestin, tetapi juga memperkukuhkan lagi status negara sebagai pejuang kemanusiaan sejagat.
Malaysia telah menjadi penempatan sementara kepada pelarian, sebelum menghantar mereka pulang ke negara asal selepas keamanan dipulihkan atau menempatkan semula mereka ke negara ketiga dengan bantuan agensi antarabangsa.
Bagaimanapun, situasi pelarian Palestin (dibawa ke Malaysia) ini rumit dan unik, disebabkan ketidakstabilan di Semenanjung Gaza. Penghantaran pulang rakyat Palestin itu ke negara mereka akan bergantung secara signifikan terhadap situasi di Gaza.
Kesemua rakyat Palestin yang cedera kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, manakala saudara mara yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.
Pada 21 Ogos, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata bahawa tiada misi kedua untuk membawa lebih ramai rakyat Palestin ke Malaysia.
Sumber: Bernama