FUNGSI TAHI TELINGA MANUSIA

Kewujudan sebenar tahi telinga bukanlah tanpa sebarang fungsi. Walaupun kita menggelarnya sebagai tahi telinga, ia tetap mempunyai peranannya yang tersendiri terhadap telinga. Tahi telinga mengekalkan tahap kesihatan telinga selain melindungi dinding lubang telinga. Namun, tahi telinga keras dan kering juga boleh menyebabkan masalah pada telinga. Antara masalah yang boleh timbul akibat daripada tahi telinga seperti ini ialah sakit pada telinga dan juga berasa gatal. Selain itu, telinga juga berisiko untuk mendapat jangkitan dan mengalami kehilangan pendengaran. Anda juga mungkin akan mendengar bunyi berdesing dalam telinga sekiranya tahi telinga tersumbat.

Antara 5 fungsi tahi telinga adalah seperti berikut:

  1. Bersifat kalis air iaitu mencegah air daripada meresap masuk ke salur telinga.
  2. Bersifat antibakteria untuk melindungi telinga daripada jangkitan dan pembiakan bakteria serta kulat.
  3. Bersifat asid untuk melembabkan kulit halus sekitar saluran telinga.
  4. Menghalang kemasukan serangga-serangga kecil seperti semut, lalat dan nyamuk.
  5. Mengeluarkan kotoran dan habuk dalam saluran telinga.

Info grafik: FB Public Health Malaysia

Secara semula jadinya, ada individu yang sememangnya mempunyai jenis tahi telinga kering. Ada juga yang mempunyai jenis tahi telinga lembut dan juga basah. Namun, pengumpulan tahi telinga terlalu lama dalam saluran telinga boleh menjadikan ia kering dan keras. Selain itu, tahi telinga juga menjadi keras dan kering disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

  • Menggunakan putik kapas
  • Memasukkan sesuatu ke dalam telinga seperti pen
  • Saluran telinga yang sempit dan kecil
  • Saluran telinga yang berbulu

Untuk membuang tahi telinga keras ini, ada 2 kaedah yang disarankan untuk dilakukan, iaitu menggunakan ubat tahi telinga dan juga menggunakan minyak.

Ubat tahi telinga

Anda boleh mendapatkan ubat tahi telinga di kaunter farmasi bagi mengeluarkan tahi dalam telinga anda.

Cari ubat tahi telinga yang mengandungi hidrogen atau mana-mana jenis peroksida (peroxide). Ini kerana, kandungan peroksida sangat membantu dalam melembutkan tahi telinga kering anda. Berikut adalah langkah untuk menggunakannya:

  • Baring mengiring dengan telinga yang ingin dibersihkan berada di bahagian atas
  • Titiskan ubat tahi telinga ke dalam lubang telinga anda
  • Biarkan ubat tersebut berada dalam telinga anda sekitar lima minit. Ini bertujuan agar ubat tersebut meresap dan melembutkan tahi telinga kering
  • Sediakan tisu dan letakkannya pada lubang telinga anda
  • Lap cecair dan tahi telinga yang keluar daripada telinga anda

Kaedah ini berkesan bagi anda yang mempunyai jumlah tahi telinga yang sedikit. Ia mungkin kurang berkesan jika tahi telinga anda banyak sehingga menyekat saluran telinga.

Menggunakan minyak

Selain daripada ubat tahi telinga, anda juga boleh menggunakan minyak untuk membantu mengeluarkan tahi telinga keras. Antara jenis minyak yang boleh digunakan adalah seperti minyak mineral, minyak zaitun dan minyak kelapa. Selain itu, anda juga boleh menggunakan beberapa jenis cecair lain seperti gliserin dan saline solution.

Elakkan daripada menggunakan kaedah ini

Tidak semua kaedah berkesan untuk membuang tahi telinga seperti ini. Malah, ada juga kaedah yang agak berbahaya untuk dilakukan. 2 kaedah yang perlu anda elakkan adalah dengan menggunakan putik kapas dan juga lilin pembuang tahi telinga.

Putik kapas

Putik kapas bukan hanya tidak membersihkan telinga anda, malah ia akan menolak tahi telinga anda lebih jauh ke dalam lubang telinga. Semakin kerap anda menggunakan putik kapas, maka semakin banyak tahi telinga yang terkumpul dalam lubang telinga.

Malah, anda juga berpotensi untuk mencederakan gegendang telinga anda lalu menyebabkan kehilangan pendengaran. Telinga anda juga boleh mendapat jangkitan jika mengalami luka akibat tusukan putik kapas. Selain putik kapas, elakkan juga penggunaan sebarang alat yang berbahaya seperti pengorek telinga besi, pensil, pen malah jari anda sendiri.

Lilin pembuang tahi telinga

Ada juga sesetengah individu yang menggunakan lilin pembuang tahi telinga bagi menyingkirkan tahi telinga yang keras. Namun, kaedah ini sebenarnya tidak berkesan. Malah, ia berpotensi menyebabkan saluran telinga menjadi melecur.

Kesimpulannya, jika telinga anda mengalami masalah seperti gatal, keradangan atau pendengaran yang kurang jelas, adalah lebih baik untuk anda berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan.

Sumber: https://www.mstar.com.my

 

 

 

 

 

 

 

Artikel/Berita Terkini

AHLI PERNIAGAAN 30-AN RUGI HAMPIR RM1 JUTA

Seorang ahli perniagaan dalam bidang perkakasan mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas dipercayai ditipu sindiket tawaran perniagaan dalam talian yang …
Maklumat Lanjut

6 PELATIH PUSPEN JELEBU LARIKAN DIRI, SEORANG DITANGKAP SEMULA PAGI TADI

Polis mengesahkan seorang daripada enam pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu yang melarikan diri dari pusat berkenaan semalam, berjaya …
Maklumat Lanjut

LAGI KES KEMALANGAN DISEBABKAN LANGGAR LAMPU ISYARAT MERAH DI SENAWANG

Selepas sebulan, berlaku lagi kemalangan disebabkan melanggar lampu isyarat merah di Matahari Height di Senawang di sini Isnin lalu. Video …
Maklumat Lanjut