Bulan Ogos adalah bulan yang penuh bersejarah bagi kita di rantau Asia Tenggara. Terdapat banyak peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah tentulah sedia maklum bahawa negara kita akan merayakan ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun.
Malaysia menyambut kemerdekaannya pada bulan Ogos. Secara lebih tepatnya lagi, 31 Ogos 1957 adalah hari kemerdekaan Malaysia. Jadi pada bulan ini juga disebut sebagai bulan kemerdekaan. Pada masa inilah kita melihat jalur gemilang dikibarkan. Pada tahun ini, kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke – 67. Tema Hari Kemerdekaan bagi tahun 2024 ialah Malaysia Madani : Jiwa Merdeka.
Pada bulan ini juga lagu-lagu patriotik akan berkumandang. Sajak-sajak tentang kemerdekaan akan dicetak semula, stesen televisyen akan mengulang tayang filem hebat tentang kemerdekaan. Hari Malaya 1957, Leftenan Adnan dan Bukit Kepong antara filem yang akan disiar semula untuk membangkitkan keghairahan bulan kemerdekaan.
Bulan Ogos secara simboliknya menjadi bulan yang paling meriah dengan aktiviti berbentuk perpaduan. Pada masa ini kita berpeluang untuk melihat pelbagai program yang berteraskan perpaduan yang akan dijalankan untuk memperlihatkan keharmonian kaum di negara ini.
Bulan Ogos juga merupakan bulan untuk memperingati tumpahnya darah, tertegaknya maruah dan berjasanya mak, ayah, datuk dan nenek kita. Pada hari ini kita seharusnya mensyukuri nikmat yang diperolehi dan menjaga keharmonian ini dengan seikhlas hati.
Semoga bulan Ogos kali ini akan menjadi bulan kemerdekaan yang dihayati dan diingati oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Sumber: FB Perpustakaan Masyarakat PGA Ulu Kinta, AI Makaysian Prompters (Gambar)