PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL TIDAK TERKAWAL, RISIKO JEJAS NIKMAT PERPADUAN

BENTONG: Penggunaan media sosial tidak terkawal, tanpa sempadan sehingga begitu mudah menyebarkan kebencian, persepsi serta sentimen berlebihan akan sesuatu isu, tidak boleh dipandang enteng kerana berisiko memecahbelahkan perpaduan yang telah dibina negara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sebagai anak watan yang hidup dalam masyarakat majmuk, menjadi tanggungjawab semua untuk tidak menggunakan platform berkenaan bagi menyebarkan sebarang bentuk komen sensitif berbaur perkauman, agama dan institusi diraja (3R).

“Hal ini kerana, dengan menyebarkan komen-komen sebegini, ia boleh menjerumuskan negara ke lembah kegelapan, huru-hara, kacau-bilau sehinggakan ekonomi tidak dapat berkembang, pelabur lari serta tiada peluang pekerjaan (dapat diwujudkan).

“Pendek kata, kalau keadaan ini berlaku, kita berada dalam keadaan yang sangat susah dan miskin sehingga nak makan pun payah. Oleh itu, marilah kita hidup dalam suasana saling hormat-menghormati dan toleransi antara kita demi mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Bentong malam tadi, yang dibacakan EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang Datuk Amizar Abu Adam.

Dalam usaha menyemarakkan semangat kebangsaan, Wan Rosdy berkata adalah amat penting generasi muda dididik dan didedahkan dengan erti kemerdekaan sebenar secara berterusan supaya golongan ini lebih menghargai nilai perpaduan yang diperoleh.

“Mereka inilah yang akan mewarisi negara dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka memahami dan menghargai perjuangan yang telah dilalui generasi terdahulu. Tanpa perjuangan generasi dahulu, generasi pada hari ini tidak mungkin terus hidup dalam suasana aman.

“Hal ini kerana perjuangan generasi terdahulu membayar pengorbanannya dengan darah dan keringat sehingga berjaya membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah,” katanya.

Dalam pada itu, Amizar ketika sidang media selepas majlis pelancaran berkata acara itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan kedatangan kira-kira 3,000 pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai program bersempena dengan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata semangat yang ditonjolkan pengunjung pada program itu diharap dapat disemarakkan lagi kerana sambutan Bulan Kebangsaan adalah detik amat bermakna bagi semua rakyat di negara ini.

“Kibar Jalur Gemilang adalah satu simbolik penting untuk menunjukkan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia. Usaha menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang merupakan usaha bersama dan saya lihat sekolah boleh memainkan peranan penting kerana anak-anak akan membawa semangat itu ke rumah,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut