KUANTAN, 1 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan program pemutihan tanah pertanian dengan melibatkan sebanyak 78 blok atau 5,526.291 hektar tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Cameron Highlands melalui melalui program skim sewaan tanah pertanian Pahang Corporation Sdn. Bhd. atau Pahang Corp bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bermula tahun 2020.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program ini adalah bagi mengurangkan ketirisan kutipan hasil Kerajaan Negeri selain menyelarasan dan pematuhan segala peraturan yang sedang berkuatkuasa oleh jabatan dan agensi berkaitan sebelum, semasa dan selepas tempoh sewaan.
“Sehingga 30 Jun lalu, seramai 1,661 penama (4,570 ekar) telah dikemaskini di dalam data maklumat pekebun manakala sebahagian tanah dengan keluasan 995 ekar telah diusahakan melebihi LPS asal dan 3,566 ekar lagi sedang diproses untuk kelulusan permohonan baharu.
“Dari keseluruhan tanah tersebut, 6,915 ekar telah diukur untuk dikemaskini dalam data maklumat pekebun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, dari tahun 2020 sehingga 30 Jun lalu, jumlah kutipan sewaan adalah sebanyak RM51.2 Juta (58%) dan baki jumlah tunggakan dari penyewa yang culas membuat bayaran sewaan adalah berjumlah RM37.8 Juta (42%).
“Jika dilihat daripada jumlah keseluruhan tunggakan sewaan tersebut, senarai pekebun yang masih culas membuat bayaran adalah masih tinggi dan ianya secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah kutipan hasil dan menyumbang kepada kerugian Kerajaan Negeri.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pahang berharap supaya pekebun yang masih culas untuk membayar tunggakan sewaan agar tampil membuat bayaran dengan kadar segera pada tahun 2024,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri juga turut memberi peringatan dan amaran keras kepada pekebun yang melanggar syarat-syarat sewaan lain termasuklah kesalahan menyewakan semula atau melepaskan hak penggunaan tanah kepada mana-mana pihak lain termasuklah kepada warga asing di mana mereka yang terbabit akan berhadapan tindakan penguatkuasaan termasuk pendakwaan oleh Jabatan dan Agensi berkaitan di seluruh negeri Pahang terutamanya di Cameron Highlands.
SUMBER: PAHANGMEDIA