KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah dilaksana di lokasi kemalangan membabitkan seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dinaikinya terbabas dan terjunam ke dalam lubang jalan mendap di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat, kelmarin.
JKR dalam kenyataan berkata, Laluan Persekutuan (FT12) di Seksyen 102 ditutup kepada semua kenderaan bermula awal Januari lalu berikutan berlaku mendapan struktur ‘bebo arch culvert’ akibat kejadian banjir.
Jelasnya, berikutan itu TMP dilaksana dari kedua-dua arah laluan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta sebagai makluman dan amaran awal kepada pengguna jalan raya.
“Lanjutan penutupan laluan itu, satu laluan lencongan dan jambatan sementara (bailey bridge) dibina bagi memastikan rangkaian perhubungan jalan raya tidak terputus.
“Hasil siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian mendapati TMP dilaksanakan mengikut prosedur dan spesifikasi ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, TMP yang dipasang adalah menyediakan papan tanda sementara (lencongan, had laju dan had muatan); menyediakan garisan jalan sementara serta menyediakan penghadang jalan.
Katanya, JKR juga menyediakan beberapa inisiatif tambahan seperti mengadakan ‘speed bump’ bagi mengurangkan had laju kenderaan dan memasang lampu solar di sekitar laluan lencongan bagi meningkatkan pencahayaan dan tahap keselamatan terutama pada waktu malam.
“Sehubungan itu, menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Untuk makluman, JKR sedang melaksanakan proses perolehan bagi kerja penggantian jambatan kekal di lokasi itu.
“Justeru, jabatan ini memohon semua pengguna jalan raya di laluan terbabit supaya lebih berhati-hati serta mematuhi papan tanda dan had laju yang ditetapkan demi keselamatan bersama,” katanya.
Pada masa sama, JKR turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian berkenaan.
Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang jalan mendap berhampiran jambatan bailey di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat.
Mangsa, Muhammad Farhan Dagang, 29, dari Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor, dilaporkan cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
SUMBER: BERITA HARIAN