KORBAN SUCIKAN JIWA, ERAT SILATURAHIM MASYARAKAT MADANI

Ibadah korban atau dalam bahasa arabnya disebut Udhiyah telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah berdasarkan kepada Al Quran, As Sunnah dan ijmak ulama.

Firman Allah yang bermaksud; “Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhan mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Al Kauthar: 2)

Ibadat korban yang telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam sebagai cara untuk hamba mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadat ini dilakukan umat Islam di seluruh dunia apabila tibanya Aidiladha atau hari raya korban pada 10 Zulhijah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang memperoleh kelapangan dan kemampuan untuk berkorban dan dia tidak mahu berkorban, maka janganlah hadir di lapangan kami (untuk solat eid).” (Riwayat Ahmad, Darul Qutni, Baihaqi dan al Hakim)

Ibadat korban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmat-Nya dan menjadi salah satu ukuran takwa seorang hamba kepada yang Maha Esa.Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

Justeru, pelaksanaan ibadat korban hendaklah dilakukan dengan ikhlas untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dan pada masa sama menanamkan rasa kasih sayang antara pihak yang berkorban dengan masyarakat yang menerima pemberian daging korban itu. Selain memberi kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan, ibadat korban sebenarnya adalah manifestasi kepatuhan hamba kepada perintah Allah SWT kerana bukan semua bersedia untuk memberi atau berkongsi apa yang dimilikinya.

Ibadat korban juga adalah penerusan menghidupkan ajaran Nabi Ibrahim iaitu kepatuhan tidak berbelah bagi kepada perintah Allah SWT yang mungkin ada antara kita merasakan ia sesuatu yang sukar dilaksanakan. Mungkin tidak sehebat kisah Nabi Ibrahim, tidak dinafikan ada dalam kalangan kita berdepan dengan keadaan yang menuntut kita melakukan pengorbanan, sejauh mana kesanggupan berdepan ujian dan berkorban.

Ibadah korban dan dimensi pengorbanan peristiwa ini juga menjelaskan bagaimana Islam mengajar kita untuk memberi sesuatu yang baik nilainya pada mata kita kepada orang lain, terutamanya kepada mereka yang amat memerlukan.

Dari sudut sosial, hikmah ibadat korban diterjemahkan melalui agihan daging korban yang meliputi seluruh strata masyarakat sama ada yang miskin atau kaya. Ini dapat memupuk semangat kesepaduan dan setiakawan umat Islam. Walaupun ekonomi umat Islam khususnya di Malaysia membolehkan mereka membeli dan makan daging, tetapi pemberian atau penerimaan daging korban mempunyai nilai tersendiri yang memberi makna.

Ibadah korban juga dilihat bertindak sebagai mekanisme dalam mengeratkan silaturahim dan keprihatinan dalam masyarakat. Sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sahaja dilakukan dengan solat sunat hari raya tetapi melibatkan aktiviti dakwah yang diterapkan melalui khutbah sebagai makanan rohani disulami dengan aktiviti sosial yang melibatkan aktiviti gotong-royong bersama masyarakat bagi memastikan proses sembelihan dan agihan berjalan lancar.

Semoga ibadat korban dapat dihayati dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan pernah sampai pada kebaikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)

Ikhlaskan diri kita dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dalam melaksanakan ibadah ini. Semoga Allah menerima korban yang dilakukan dan melimpahkan rezeki yang tidak putus-putus di atas pelaksanaan ibadah fardhu kifayah ini.

 Sumber: BERITA HARIAN, SINAR HARIAN

 

 

 

 

Artikel/Berita Terkini

#ADDINAHAD: BANTU MELEPASKAN KESUSAHAN

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia, maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada …
Maklumat Lanjut

LAGI CUBAAN SELUDUP KELAPA BERNILAI LEBIH RM200 RIBU

Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan penyeludupan buah kelapa di Kampung Simpangan, Tumpat, Kelantan, pada 5 Disember 2024 …
Maklumat Lanjut

RAMPASAN KELAPA LEBIH 41 TAN DI PENGKALAN KUBOR

Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan buah kelapa di Jalan Pulau Ular, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, …
Maklumat Lanjut