Pada hari ini dalam tahun 1967, penggunaan mata wang baharu Malaysia diumumkan oleh YB Tan Siew Sin, Menteri Kewangan di Bilik Gerakan Negara, Kuala Lumpur. Malaysia secara rasmi menggunakan nilai ringgit sebagai nilai tukaran antarabangsa bagi menggantikan Dolar Malaya dan British Borneo. Nilai matawang baharu ini tidak berubah dan tetap teguh di dalam dan luar negeri, perbezaan antara matawang baharu dan lama ini hanyalah daripada segi grafiknya sahaja. Keteguhan nilai matawang Malaysia adalah disebabkan oleh kekuatan ekonomi negara termasuk kedudukan wang hasil dalam negeri dan juga simpanan pertukaran wang luar yang besar. Wang baru ini menukarkan wang lama dengan kadar yang sama iaitu $1 Dollar Malaya bersamaan $1 ringgit wang baharu. Wang baharu ini tiba di Malaysia melalui Port Swettenham, Klang, Selangor dari London dengan langkah kawalan keselamatan yang rapi dan ketat. Ia kemudian disimpan di Pejabat Matawang, Bank Negara Malaysia di Batu Tiga, Shah Alam. Wajah Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Agong Pertama tertera di setiap muka hadapan wang kertas bernilai $1 ringgit, $15 ringgit, $10 ringgit dan $100 ringgit. Gambar bangunan Parlimen, bulan dan bintang berbucu tiga belas pula tertera pada wang syiling bernilai 1¢, 5¢ 10¢, 20¢ dan 50¢.
Sumber: Arkib Negara Malaysia