PUTRAJAYA: Kadar inflasi keseluruhan Malaysia yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal rendah sebanyak 1.8 peratus pada April 2024, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ia juga adalah kadar yang sama sejak Februari 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.4 berbanding 130.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar inflasi negara itu juga adalah lebih rendah berbanding inflasi di negara lain seperti Vietnam (4.4 peratus), Filipina (3.8 peratus), Amerika Syarikat (3.4 peratus), Indonesia (3.0 peratus) dan Korea Selatan (2.9 peratus).
Beliau berkata, kadar inflasi pada April 2024 telah didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran & perkhidmatan penginapan (3.5 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (3.1 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain pada 3.0 peratus.
Makanan & minuman dan pengangkutan pula katanya masing-masing mencatatkan peningkatan 2.0 peratus dan 0.8 peratus.
“Inflasi Restoran & Perkhidmatan Penginapan meningkat kepada 3.5 peratus pada April 2024 berbanding 3.0 peratus pada Mac 2024.
“Ini disumbangkan oleh peningkatan subkumpulan utama Perkhidmatan penyediaan minuman, 3.9 peratus (Mac 2024: 3.7 peratus) dan Perkhidmatan penginapan pada 2.4 peratus (Mac 2024: 0.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Uzir berkata, mengikut kadar inflasi di setiap negeri pula, kebanyakan negeri merekodkan
peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus.
Walaubagaimanapun beliau berkata, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.2 peratus), Sarawak (2.8 peratus), Pahang (2.4 peratus) dan Selangor (2.2 peratus).
Kesemua negeri katanya mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman.
Peningkatan tertinggi katanya dicatatkan oleh Selangor pada 3.7 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (3.1 peratus), Putrajaya (2.9 peratus) dan Sarawak (2.1 peratus).
Sementara itu katanya, negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan &
Minuman nasional iaitu 2.0 peratus pada April 2024.
Katanya, inflasi keseluruhan secara bulanan merekodkan kenaikan 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus yang telah dicatatkan pada Mac 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (0.9 peratus); Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (0.8 peratus) dan Restoran & Perkhidmatan Penginapan (0.3 peratus).
“Sementara itu, inflasi teras pada April 2024 meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus yang direkodkan pada Mac 2024 didorong terutamanya oleh Restoran & Perkhidmatan Penginapan dan Makanan & Minuman yang masing-masing meningkat pada 3.5 peratus dan 3.2 peratus diikuti oleh Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.1 peratus),” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN