PUTRAJAYA: Seramai 23 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) akan didakwa di enam Mahkamah Sesyen atas kesalahan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan penjualan arak serta rokok tanpa cukai.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, semua suspek akan didakwa secara berasingan bulan ini sehingga 6 Jun depan.
“Semua mereka akan didakwa mengikut kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Setakat ini, dua pegawai Kastam sudah dituduh di mahkamah berkaitan kesalahan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pendakwaan terhadap suspek hasil operasi Ops Samba 2.0 yang bermula sejak 11 Mac lalu menerusi kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara.
“Ops terbabit berakhir 25 Mac lalu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Kastam yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akhirnya berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.
“Dalam operasi ini, SPRM menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu dan pemilik syarikat dan hasil siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan mengimport dan penjualan arak serta rokok seludup,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, berikutan penahanan individu terbabit, SPRM merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.
SPRM sudah membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan ‘akaun keldai’ berjumlah kira-kira RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan.
Sementara itu, sumber memaklumkan, SPRM sudah mencadangkan seramai tujuh lagi anggota dan pegawai Kastam dikenakan tindakan tatatertib.
“Berdasarkan siasatan, ada tujuh pegawai dicadangkan untuk dikenakan tindakan tatatertib oleh Kastam,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan SPRM mengesan modus operandi digunakan oleh sindiket yang dilumpuhkan dalam Ops Samba melalui ‘forwarding agent’ yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguat kuasa.
Anggota dan pegawai JKDM yang bertugas dalam pemeriksaan kargo lapangan terbang diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.
Sindiket terbabit dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa itu sejak tahun 2017.
Hasil siasatan menunjukkan anggota dan pegawai terbabit menerima rasuah kira-kira RM4.7 juta daripada sindiket melalui ‘akaun keldai’.
Sindiket itu juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup wang, kegiatan judi atas talian dan melalui syarikat pinjaman wang berlesen.
Sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan pengubahan wang haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
SUMBER: BERITA HARIAN