SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini merampas bahan kosmetik bernilai kira-kira RM50,000 dipercayai diseludup masuk ke negeri ini melalui perairan Pulau Larapan, pada Ahad.
Rampasan itu dibuat susulan pemeriksaan ke atas sebuah bot yang mencurigakan kira-kira jam 8.50 malam di kawasan itu. Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP
Ahmad Ariffin berkata, bot tersebut dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa pasukan menjalankan tugas Op Taring Gelora.
“Pasukan cuba menahan bot itu tetapi ia memecut ke arah kawasan cetek. Pasukan itu terus mengejar bot itu dan mendapati ia ditinggalkan,” katanya.
Ahmad berkata, pihaknya menemui 26 kotak berisi barangan kosmetik dipercayai diseludup masuk dari negara jiran. Jumlah rampasan termasuk bot bernilai kira-kira RM60,000.
“Rampasan dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut. Kes akan dirujuk ke Jabatan Farmasi Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Harian Ekspres Sabah