DUA KAMPUNG ATAS AIR BATU SAPI NIKMATI BEKALAN ELEKTRIK IPD

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar

SANDAKAN (31 Mac): Penduduk Kampung Bugaya dan Kampung Sundang Laut di kawasan Batu Sapi bakal menikmati bekalan elektrik menjelang Oktober tahun ini.

Ini merupakan usaha pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam meluaskan pelaksanaan projek Pengedar Kuasa Bebas (IPD) bagi menyelesaikan permasalahan penyambungan elektrik secara haram di dua perkampungan atas air tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata konsep meter prabayar ini sama seperti yang telah dilaksanakan di Kampung Forest, Batu 1.5 pada tahun lalu. Melalui konsep ini, selain menyediakan tiang-tiang pencawang elektrik, pihak SESB turut membuat pendawaian di dalam rumah bagi memastikan pendawaian tersebut selamat dan tidak menjejaskan pengguna lain.

“Kini pihak SESB sudah menyelesaikan tinjauan mengenai bilangan rumah. Perancangan pertama kita adalah membina pencawang yang akan menyalurkan bekalan elektrik dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini.

“Manakala, keperluan menarik kabel baharu untuk rumah ke rumah di dua kampung atas air tersebut akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan lagi. Jadi kalau tiada rintangan, kita akan siapkan dalam tempoh enam bulan,” jelasnya.

Namun katanya, kaedah meter prabayar ini telah ditambah baik berbanding kaedah yang dilaksanakan semasa projek perintis IPD di Kampung Forest.

“Kalau dahulu, kita caj melalui penggunaan bilangan peralatan elektrik. Tetapi, kini kita akan memperkenal kaedah prabayar iaitu mengikut kapasiti penggunaan masing-masing,” ulasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan menyambut baik usaha SESB memperkenal sistem IPD di dua buah kampung atas air ini.

Jelasnya, penduduk di dua buah kampung tersebut telah menunggu bekalan elektrik disalurkan secara sah ke kampung mereka sejak 40 tahun lalu. Beliau percaya dengan adanya penyaluran bekalan elektrik ini akan dapat menjamin keselamatan penduduk yang selama ini berdepan pelbagai risiko akibat penyambungan haram.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Harian Ekspres Sabah

 

Artikel/Berita Terkini

KONDOMINIUM DISERBU, LAPAN PEKERJA PEMBERSIHAN PATI DITAHAN

Kuala Lumpur – Sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya, Segambut, di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur sebelum …

DAM AJI MEDIUM PERPADUAN RAKYAT

Ayer Keroh – Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka 2025 bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya turut menjadi platform …

PROGRAM PROMOSI KESIHATAN PERGIGIAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Pada tarikh …