INFO BENCANA: MIGRASI AKIBAT ANCAMAN IKLIM

Perubahan iklim merupakan antara cabaran terbesar penduduk di seluruh dunia kerana ia menjejaskan hampir semua aspek dalam masyarakat dan alam sekitar. Kesan perubahan iklim menimpa secara tidak seimbang ke atas negara membangun serta komuniti miskin dan terpinggir, walaupun pada hakikatnya merekalah yang paling kurang menyumbang kepada perkara itu.

Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) menganggarkan 1.2 bilion penduduk dunia boleh hilang tempat tinggal menjelang 2050 akibat bencana alam, justeru penghijrahan akibat iklim menjadi isu yang membimbangkan di seluruh dunia, menurut badan pemikir global itu.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga April 2021, jumlah penduduk yang bermigrasi akibat ancaman iklim meningkat menjadi 21.5 juta orang.

Laporan Bank Dunia berjudul ”Groundswell Part II” turut menyebutkan, tanpa adanya strategi dan tindakan berkesan dalam menangani isu perubahan iklim, pada tahun 2050 dijangkakan sebanyak 216 juta orang di enam wilayah akan bermigrasi. Ini melibatkan 86 juta orang di Sub-Sahara Afrika, 49 juta di Asia Timur dan Pasifik, 40 juta orang di Asia Selatan, 19 juta di Afrika Utara, 17 juta orang di Amerika Latin serta 5 juta orang di Eropah Timur dan Asia Tengah. Laporan yang sama turut menyatakan antara tahun 2008 hingga 2018, berlaku peningkatan migrasi global akibat meletusnya pelbagai bencana yang diakibatkan oleh fenomena perubahan iklim: tanah runtuh dan gempa bumi (0.37%), letupan gunung berapi (0.45%), peningkatan suhu ekstrem (0.4%), kebakaran hutan (0.61%), gempa bumi (12.23%), taufan dan puting beliung (34.5%) dan banjir (50.6%).

Dalam seminar mengenai migrasi di Universiti Malaya baru-baru ini, Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Kendra Rinas berkata memandangkan Asia Tenggara dianggap sebagai antara wilayah yang paling terdedah kepada bencana alam, lebih ramai migran akan datang ke Malaysia mencari perlindungan daripada kesan perubahan iklim.

Di samping itu, lebih ramai rakyat Malaysia dijangka berhijrah di dalam dan ke luar negara akibat kesan perubahan iklim, menimbulkan kebimbangan sama ada Malaysia bersedia untuk berhadapan dengan cabaran ini.

Kesan perubahan iklim semakin dirasai di Malaysia yang kini mengalami fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat berterusan, panas yang membahang serta penurunan suhu di kawasan-kawasan tertentu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Situasi ini mencetuskan pelbagai bencana seperti banjir, termasuk banjir kilat, pada skala besar serta kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara tanpa mengira musim Umumnya, perubahan iklim berlaku disebabkan proses dinamik bumi termasuk pemanasan global atau peningkatan suhu bumi, dan menunjukkan fenomena ini, sebahagian besarnya diakibatkan oleh kegiatan manusia.

Perubahan iklim mungkin kelihatan abstrak dan sesuatu yang terpencil bagi kebanyakan kita, tetapi ia salah satu cabaran paling genting yang dihadapi manusia. Dasar Keselamatan Negara 2021 – 2025 turut menjelaskan berkaitan isu migran dan migrasi merujuk kepada teras ke 5 iaitu Kesepaduan Nasional.

Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim serta mengambil langkah yang sewajarnya. Kesedaran dan keprihatinan mengenai perubahan iklim adalah merupakan salah satu aspek penting kerana ia adalah asas penting dalam mewujudkan kelestarian. Semua pihak harus memainkan peranan yang lebih proaktif agar usaha-usaha penjagaan alam sekitar negara mencapai kejayaan. Perlu diingat, usaha membuat perubahan walau sekecil manapun adalah lebih baik berbanding sekadar berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa atau menyalahkan orang lain.

Sumber: BHarian, Bernama

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM BICARA EKSEKUTIF PENERANGAN ISU-ISU KESELAMATAN SIRI 1/2024

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Bicara Eksekutif Penerangan Isu-Isu Keselamatan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN BERHASRAT BERI TABLET KEPADA PELAJAR – ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk memberikan tablet kepada setiap pelajar dalam merealisasikan sekolah digital yang lebih berkesan pada masa …
Maklumat Lanjut

KPM UMUM ENAM INISIATIF ANTARANYA LONJAK KAPASITI GURU DIGITAL

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital. Menteri Pendidikan, Fadhlina …
Maklumat Lanjut