Jabatan siasatan Jenayah Komersial Terengganu telah mengeluarkan statistik (18 Februari 2024 sehingga 24 Februari 2024), sebanyak 81 laporan polis telah diterima iaitu terdapat peningkatan 10 kes Β berbanding minggu sebelumnya. Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 7 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah kerugian sebanyak RM 44,455.00.
Tiga kes adalah melibatkan Pinjaman Tidak Wujud dengan jumlah kerugian sebanyak RM 20,040.00 iaitu mangsa mendapat tawaran pinjaman melalui medium media sosial Facebook dan bersetuju untuk membuat pinjaman melalui syarikat pinjaman tersebut. Mangsa turut telah membuat bayaran ke beberapa akaun bank (keldai akaun) namun tidak menerima wang pinjaman yang dijanjikan.
Kes pertama: mangsa merupakan seorang kontraktor (41 tahun) telah memohon pinjaman wang sebanyak RM 10,000 dan mengalami kerugian sebanyak RM 4,100.
Kes kedua: mangsa merupakan seorang peniaga (37 tahun) telah memohon pinjaman sebanyak RM 60,000 dan mengalami kerugian sebanyak RM 8,400.
Kes ketiga: mangsa merupakan seorang operator (33 tahun) telah memohon pinjaman sebanyak RM 60,000 dan mengalami kerugian sebanyak RM 7,540.
Orang ramai diingatkan supaya menyemak nama syarikat, syarat sah pemberian pinjaman wang berlesen dan prosedur bagi pinjaman wang sebenar. Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pengesahan syarikat pinjaman wang.
Sumber: Kenyataan Media Ketua Polis Terengganu