KEADILAN SOSIAL DI MALAYSIA: MENDEPANI CABARAN SILAM DAN PELUANG MASA HADAPAN

Keadilan sosial adalah suatu realiti yang berkembang, namun cabaran-cabaran silam kekal memberikan kesan langsung ke atas proses pencapaian dan perkembangan keadilan pada hari ini. Artikel ini bertujuan menyelusuri cabaran-cabaran silam yang menyumbang kepada ketidakseimbangan sosioekonomi di Malaysia serta menyelongkar sudut-sudut baru di dalam dasar-dasar yang pernah diperkenalkan dan sedang dilaksanakan di dalam negara bagi mengatasi isu penting ini. Syor dan cadangan bagi memastikan keadilan sosial dimartabatkan di dalam negara merupakan agenda utama yang harus diberi perhatian.

 

Keadilan sosial merupakan elemen penting dalam pembangunan negara terus kekal sebagai tumpuan utama di Malaysia. Mengambil kira kepelbagaian ras dan bangsa, adat dan budaya, keadilan sosial adalah pengikat kesatuan di dalam negara. Bermula kemerdekaan pada tahun 1957, pencapaian demi pencapaian berkait keadilan sosial terus diusahakan namun, cabaran silam termasuk ketidakseimbangan ekonomi, pendidikan yang tidak merata serta pengagihan sumber di dalam negara memberi impak signifikan terhadap keadilan sosial di negara ini.

 

Cabaran Silam:

  1. Ketidakseimbangan ekonomi: Sejarah ekonomi Malaysia mencatatkan jurang ekonomi antara etnik dan kawasan, memberi kesan jangka panjang kepada peluang ekonomi dan pembangunan yang tidak saksama. Peluang pekerjaan berdasarkan penempatan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi kepada ras dan bangsa masing-masing. Dasar Pecah dan Perintah yang pernah dilaksanakan penjajah British satu ketika dahulu jelas bertujuan menggalakkan perkembangan masyarakat secara plural. Keberadaan kaum Cina di bandar, masyarakat Melayu di luar bandar dan etnik India sebagai pekerja ladang menjadikan kedudukan ekonomi setiap kaum tidak seimbang.

 

  1. Pendidikan yang tidak merata: Ketidakseimbangan dalam capaian dan mutu pendidikan masih menjadi cabaran sehingga kini khususnya di kalangan komuniti miskin dan luar bandar. Perbandingan ketara ketersediaan infrastruktur yang menyokong kepada proses pembelajaran pelajar di bandar dan luar bandar memberi kesan langsung kepada kemajuan pendidikan di seluruh pelusuk negara.

 

  1. Pengagihan sumber negara: Cabaran dalam pengagihan sumber termasuk hasil mashul, tanah dan peluang pekerjaan terus terusan memberikan kesan besar kepada struktur sosioekonomi masyarakat.

 

Dasar-Dasar Keadilan Sosial di Malaysia:Β 

  1. Dasar Pembangunan Nasional (DPN): Diperkenalkan pada tahun 1991, DPN merupakan kesinambungan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memandu pembangunan negara dengan memberi tumpuan kepada ketahanan ekonomi dan keadilan sosial. Selain matlamat akhir bagi mencapai perpaduan di dalam masyarakat, objektif DPN adalah mengukuhkan kestabilan sosial dan politik serta mengekalkan pembangunan yang berterusan.

 

  1. Dasar Ekonomi Baru: Diperkenalkan pada tahun 1971, DEB bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara etnik Bumiputera dan bukan Bumiputera melalui pelbagai inisiatif termasuk pemberian bantuan dan keutamaan dalam sektor ekonomi. Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah meskipun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh namun DEB telah merubah dan menyumbang kepada kemajuan dan perkembangan ekonomi masyarakat secara keseluruhannya.

 

  1. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025): Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam kementerian, mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem Pendidikan secara keseluruhan serta memahami prestasi dan cabaran semasa sistem Pendidikan dengan tumpuan kepada akses pendidikan, peningkatan kualiti, merapatkan jurang pencapaian, pengukuhan perpaduan di kalangan murid dan mengoptimumkan kecekapan sistem sedia ada.

 

  1. Malaysia Madani: Merupakan ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia yang lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi perbincangan dan maklum balas rakyat. Enam nilai teras MADANI (Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan) dicerakin sebagai kerangka dasar dan falsafah yang berkait rapat dan bersepadu dengan setiap satu menguatkan yang lain. Diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi subtantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.
Enam Rukun Malaysia Madani

 

 

Syor usaha pencapaian masa depan:Β 

  1. Pemantapan dasar berkait ekonomi: Pengenalan Dasar Gaji Progresif dan Pangkalan Data Utama merupakan antara inisiatif yang diperkenalkan bagi mengatasi isu-isu lapuk berkait ekonomi dan pendapatan rakyat. Kerajaan sentiasa perlu terus memantapkan dan menyemak semula dasar semasa berkait pembangunan ekonomi bagi memastikan pengagihan kekayaan dan kemajuan yang lebih adil dan memberi tumpuan kepada sector-sektor yang berimpak besar kepada rakyat.

 

  1. Peningkatan kepada capaian pendidikan yang setar: Melalui penambahbaikan di dalam sistem pendidikan termasuk peningkatan infrastruktur dan perkhidmatan Pendidikan, Malaysia mampu meastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua. Pelajar luar bandar harus menerima peluang yang sama dalam mencapai kecemerlangan di dalam pendidikan. Malah, usaha kecil pembaikan tandas yang dilaksanakan sepanjang tahun 2023 meskipun dianggap remeh dan dipandang enteng, sebenarnya memberikan nilai tambah yang dinanti golongan pelajar dan pendidik di sekolah. Isu yang sekian lama diabaikan mampu diselesaikan melalui usaha yang bersepadu dan bertumpu. Peningkatan kualiti kecil sebegini memberi impak terbanyak kepada kumpulan yang memerlukan.

 

  1. Pembangunan yang saksama: Pelaksanaan dasar pembangunan negara perlu diperkukuhkan untuk memastikan kemajuan ekonomi dan peluang pekerjaan merentasi negeri secara saksama. Cadangan mewujudkan β€œKuala Lumpur yang kedua atau ketiga” adalah pandangan yang perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan ekonomi hanya tertumpu di satu-satu tempat. Malah agihan ekonomi yang melimpah ke lokaliti luar mampu memberikan peluang saksama kepada masyarakat yang tidak mampu berhijrah ke destinasi lebih baik dalam negara. Selain usaha yang berterusan untuk melaksanakan pembangunan yang bersifat setempat dan bersesuaian dengan komuniti bagi membolehkan peluang-peluang sedia ada dibangunkan sewajarnya.

 

Secara keseluruhannya, Malaysia berada di laluan tepat dengan mengambil langkah-langkah positif dalam memajukan keadilan sosial. Namun, usaha berterusan dan penambahbaikan berdasarkan cabaran silam perlu dihadapi dengan pendekatan menyeluruh yang melibatkan setiap lapisan kelas bagi memastikan masa depan yang lebih adil dan seimbang di negara ini.

 

MKN Kedah | 16 Januari 2024