HASILKAN UBAT BATUK TIRUAN, KPDN SERBU PREMIS SIMPAN BAHAN MENTAH

Sebuah premis memproses dan menyimpan pelbagai barangan bahan mentah serta botol pembungkusan di Mantin di sini diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada pertengahan bulan lalu kerana didapati menjadi tempat untuk menghasilkan produk ubat batuk tiruan.

Serbuan itu menerusi operasi bersepadu yang dijalankan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang merupakan hasil daripada maklumat dan risikan selama tiga bulan yang dilakukan.

Menurut Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, hasil pemeriksaan lanjut pasukan serbuan ke atas premis terbabit telah menemukan sejumlah 10,000 botol ubat batuk yang telah siap dibungkus dan 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun.

Selain itu, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan bagi tujuan memproses ubat batuk yang menggunakan jenama ubat batuk terkenal yang disyaki tiruan.Berikutan itu, kesemua bahan-bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM236,516.

Dalam serbuan itu juga seorang wanita tempatan berusia 38 tahun telah ditahan selepas membuat pengakuan dan bertanggungjawab ke atas premis terbabit dan akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].Β Selain itu, syarikat berkenaan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Hasil tindakan awal, sebanyak 56 akaun telah dibekukan melibatkan sembilan entiti di mana empat daripadanya merupakan akaun syarikat manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta.

Pada masa sama, katanya, dua bangunan industri di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan juga telah disita dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2.6 juta. Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 )(Akta 366).

Sumber:Β Utusan Malaysia