SUBANG JAYA, 9 NOV: Hampir 99 peratus peniaga ayam di Selangor tidak menaikkan harga susulan pelaksanaan pengapungan harga bagi bahan mentah itu sejak Rabu lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata tiada aduan rasmi diterima daripada pengguna berhubung perkara itu.
“Berdasarkan pemantauan selama sembilan hari, kami mendapati pematuhan adalah sebanyak 99 peratus dimana harga ayam yang dijual lebih murah berbanding RM9.40 sekilogram.
“Hanya ada satu atau dua premis yang jual melebihi harga. Mengenai aduan, saya sendiri terkejut kerana tidak ada langsung aduan daripada pengguna setakat ini,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau meninjau barangan asas sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di pasaraya Mydin di sini, hari ini. Turut hadir EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.
Sumber : Selangorkini