SEMANGAT SUKARELAWAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 3 : KESEPADUAN NASIONAL (PERPADUAN MASYARAKAT)

Semangat sukarelawan bukanlah satu perkara yang asing dan baharu dalam masyarakat kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kebiasaan kehidupan masyarakat sejak zaman-berzaman. Sukarela bermaksud bekerja atas kemahuan sendiri dan tanpa dipaksa. Sumbangan kesukarelawanan kepada individu dapat dilihat menerusi aspek pembangunan personal, sosial, kemahiran, kerjaya dan akademik. Bagi masyarakat pula, penglibatan dalam kesukarelawanan dapat memperkuat dan memperkasakan komuniti, meningkatkan integrasi sosial, membina kepercayaan dan ikatan sosial yang kuat, meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Hal ini turut didukung menerusi agenda Malaysia Madani dalam teras yang keempat iaitu β€œIhsan” yang menerapkan belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan. Ihsan dalam konteks Malaysia Madani ditafsirkan cukup sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan, iaitu mengasihi orang lain merangkumi ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan anggota masyarakat secara keseluruhan termasuk golongan minoriti. Perasaan ihsan digambarkan mewakili soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi membantunya.

Antara kebaikan utama menyertai kerja amal adalah ia dapat memberikan kesedaran tentang kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat kepada mereka yang lebih bernasib baik. Misalnya, kejadian banjir yang melanda kawasan perkampungan banyak memusnahkan atau merosakkan kebajikan penduduk kampung seperti perkakas rumah dan pakaian. Oleh itu, sukarelawan yang datang membantu dapat menyumbang kepada kebajikan penduduk terjejas agar mereka dapat meneruskan kehidupan mereka dengan selesa. Hal ini dapat membantu meluaskan kesedaran terhadap kesusahan atau masalah yang dialami oleh sebahagian masyarakat.

Manfaat lain aktiviti sukarelawan adalah membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni yang baik. Apabila kita menyertai aktiviti sukarelawan, pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang akan diperoleh. Seseorang individu akan didedahkan kepada cara untuk berkomunikasi dengan lebih empati, menguruskan logistik dan sebagainya. Mereka akan terlibat dengan organisasi yang mempunyai ketua untuk menurut arahan, golongan penerima yang akan mendapat bantuan dan rakan sukarelawan yang memerlukan kerjasama antara satu sama lain. Di samping itu, penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan ini dapat membentuk ketrampilan diri yang baik.

Selain itu, kerja amal dan sukarelawan dapat membantu kita untuk mengisi masa terluang dengan perkara-perkara yang berfaedah. Sejak kebelakangan ini, banyak laporan di dada akhbar dan televisyen yang memaparkan ahli masyarakat yang terjebak dengan gejala negatif seperti dadah dan gangsterisme. Perkara ini seharusnya dibendung agar masyarakat yang bermutu dan negara yang maju dapat dicapai. Oleh itu, dengan menganjurkan aktiviti sukarelawan atau kerja amal dan memastikan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian mampu memenuhkan masa mereka dengan aktiviti yang lebih berfaedah.

Kesimpulannya, banyak kebaikan yang diperoleh sekiranya kita melibatkan diri atau menganjurkan kerja-kerja amal untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Nilai kesukarelawan perlu dibangunkan secara hoslitik agar masyarakat didedahkan dengan sifat dan falsafah kesukarelawanan secara berterusan kerana ia secara tidak langsung memupuk kepada keharmonian sejagat sejajar dengan penghayatan konteks Malaysia Madani. Kempen kesedaran juga harus dipergiat agar rakyat memahami kepentingan sukarelawan dalam masyarakat Malaysia sekali gus pada akhirnya boleh menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan negara Madani yang dihasratkan.

Rujukan:

  1. https://news.ump.edu.my/experts/semangat-sukarelawan-dukung-konsep-keluarga-malaysia-sempena-hari-malaysia-2021
  2. https://www.hmetro.com.my/rencana/2023/02/935491/perlu-penghayatan-ihsan#:~:text=Ihsan%20dalam%20konteks%20Malaysia%20Madani,secara%20keseluruhan%20termasuk%20golongan%20minoriti.
  3. https://www.ipendidikan.my/kerjasukarelawan.html

 

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut