DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 2: KESTABILAN SOSIO POLITIK (Perlembagaan Persekutuan Malaysia)
Definisi Umrah dari segi bahasa bermakna ziarah atau menuju ke tempat yang makmur. Pengertian Umrah mengikut syarak pula ialah mengunjungi Kaabah untuk melakukan ibadah iaitu tawaf dan sai’e menurut syarat-syarat wajibnya. Sesetengah ulama berpendapat bahawa mengerjakan umrah adalah sunat, namun ulama Mazhab Syafii dan Hanbali menyatakan bahawa ia adalah wajib berdasarkan pada dalil al-Quran. Allah s.w.t. telah berfirman, yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahalul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahalul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam. kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati. kalau ia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjid al-Haram (Makkah). dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya)” – Surah al-Baqarah: 196.
Selanjutnya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang bermaksud:
“Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: — Maksudnya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: Jihad orang yang telah tua, orang yang lemah dan wanita ialah menunaikan haji dan umrah” – Riwayat al-Nasaie.
Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali bagi orang yang berada dalam ihram haji. Ibadah umrah tidak perlu berwukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di Jamrah. Rukun Umrah seperti yang diperincikankan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji ada lima perkara, iaitu:
1. Niat: Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Jika seseorang itu tidak berniat sama ada sengaja atau terlupa umrahnya menjadi tidak sah. Berniat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa.
2. Tawaf: Tawaf adalah salah satu rukun yang sangat penting dalam ibadat umrah. Sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut syarat-syaratnya, ia menjadi tidak sah dan justeru itu sai’e, iaitu rukun yang berikutnya juga akan menjadi tidak sah. Syarat- syarat sah tawaf:
- Berniat mengelilingi Ka’abah semata-mata untuk menunaikan tawaf kerana Allah s.w.t. Lafaz niat Tawaf Umrah: ‘Aku berniat Tawaf Umrah di Kaabah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala’.
- Tawaf hendaklah dilakukan di luar Kaabah tetapi di dalam Masjidil Haram. Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti dipastikan bahu sentiasa mengiringi Kaabah.
- Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Kaabah termasuk Syazarwan (bingkai Kaabah) semasa tawaf.
- Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Kaabah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Kaabah.
- Laluan tawaf hendaklah bersih daripada najis.
- Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hijr Aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.
- Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan sempurna dan yakin.
- Mesti mengirikan Kaabah sepanjang masa tawaf.
- Mesti suci daripada hadas kecil (yakni berwuduk).
- Mesti suci daripada hadas besar.
- Badan dan pakaian mesti suci daripada najis (mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah dianggap membawa najis yang menyebabkan tawaf menjadi tidak sah).
- Mesti menutup aurat.
3. Sai’e: Sai’e adalah juga satu rukun yang penting dan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun begitu sahnya sai’e bergantung kepada sahnya tawaf. Jika kerana sesuatu sebab, tawaf tidak sah maka sai’e yang walaupun dibuat dengan sempurna akan turut menjadi tidak sah. Syarat-syarat sah sai’e:
- Hendaklah dilakukan selepas tawaf.
- Tujuan hendaklah semata-mata untuk sai’e.
- Sai’e hendaklah dimulai dari Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah.
- Sai’e dilakukan genap dan sempurna bilangan sebanyak tujuh kali. Perjalanan balik dari Marwah ke Safa dikira sekali pula.
- Jarak perjalanan Safa ke Marwah dikira dari kaki bukit ke kaki bukit. Tetapi sekurang-kurangnya ialah jarak yang ditentukan untuk mereka yang menggunakan kereta sorong.
- Perjalanan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya tidak terputus yakni seseorang itu tidak melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula menerusi satu pintu lain.
4. Tahallul: Bertahallul maknanya melepaskan diri dari larangan ihram menurut cara yang ditetapkan untuk umrah. Bagi umrah seseorang itu boleh bertahallul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu niat, tawaf dan sai’e. Syarat tahallul bagi lelaki ialah menggunakan sekurang-kurangnya tiga helai rambut (bukan bulu) dengan cara bergunting atau dengan cara–cara lain; tetapi adalah afdhal bagi lelaki mencukur kepalanya. Bagi orang yang kepalanya tidak berambut memadai jika dilalukan pisau di atas kepalanya. Syarat tahlul bagi wanita pula ialah:
- Perempuan yang berambut panjang boleh memotong mana-mana bahagian rambutnya untuk tahallul asalkan tidak kurang dari tiga helai.
- Suami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai sai’e umrah. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.
- Perempuan haid boleh bertahallul dan rambut yang dipotong dimasukkan saja ke dalam bekas yang disediakan.
5. Tertib: Para jemaah hendaklah melaksanakan segala Rukun Umrah satu persatu, mengikut tertibnya (aturan).
Selain dari Rukun Umrah yang wajib dipatuhi, wajib Umrah ialah perkara-perkara yang mesti dilaksanakan oleh jemaah umrah, sekiranya ditinggalkan, ibadah umrah tersebut masih sah tetapi dikenakan bayaran Dam. Dam adalah denda yang wajib dilunaskan oleh jemaah yang melakukan perkara-perkara yang melanggar syarat-syarat ketika menunaikan ibadah umrah. Wajib Umrah ada dua, iaitu berniat umrah di Miqat (sempadan) yang ditetapkan ataupun sebelumnya, dan menjaga larangan ihram.