ISKANDAR PUTERI, 3 April 2023 – MKN Negeri Johor dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor telah berjaya menganjurkan Bengkel Law of The Sea Peringkat Negeri Johor Tahun 2023 dengan objektif utama penganjuran untuk memberi pendedahan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dan agensi berkaitan maritim di Negeri Johor mengenai undang-undang, peraturan dan pengurusan keselamatan maritim serta udara di Malaysia khususnya Negeri Johor. Pelaksanaan bengkel ini juga adalah selaras dengan strategi yang digariskan di bawah Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 bagi memelihara Teras 1 : Keutuhan dan Kedaulatan Wilayah.
Penceramah jemputan yang telah sudi memberi perkongsian di dalam bengkel ini adalah daripada Jabatan Peguam Negara iaitu En. Mohd Syamir Bin Salim Saw yang telah berkongsi mengenai The United Nation Convention on the Law of The Sea (UNCLOS), dari Jabatan Laut Malaysia iaitu Dr. Yasmin Binti Mohd Hasni yang telah memberi pencerahan mengenai International Ship and Port Security (ISPS) Code dan daripada Majlis Keselamatan Negara adalah Encik Muhammad Isa Bin Mohd Onzer serta Encik Mohd Nizaruddin Bin Mahidin Abdul Kadir yang telah menyampaikan berkenaan pengurusan keselamatan udara dan maritim di Malaysia.
MKN Negeri Johor berharap agar semua peserta memperoleh banyak manfaat daripada pelaksanaan bengkel ini dan dapat mengaplikasikannya di dalam tugasan yang dilaksanakan di lapangan. Pendedahan mengenai undang-undang, peraturan dan pengurusan keselamatan maritim serta udara amat penting untuk difahami agar kedaulatan dan keutuhan Negara Malaysia akan sentiasa terpelihara melalui perlindungan ke atas kepentingan-kepentingan Negara dari ancaman dalam dan luar negara.
MKN Negeri Johor juga ingin mengucapkan tahniah kepada para peserta yang telah terpilih untuk menerima cenderahati di atas minat yang mendalam ditunjukkan ketika sesi bengkel berlangsung.









