Lebih 6,000 pemilik dan peminat skuter dari seluruh negara telah memeriahkan program Scooterian Mega Gathering Vol 1.0 yang berlangsung di Taman Tasik, Kuala Nerus selama dua hari berakhir 25 Februari 2023.
Perhimpunan julung kali diadakan itu terbuka kepada pelbagai jenis jenama dan model skuter. Sebanyak 11 kategori dipertandingkan dimana tiga kategori bagi skuter moden dan selebihnya vespa.
Matlamat program adalah untuk mengumpul anak-anak muda seluruh Malaysia berkumpul dan dapat mengeratkan silaturahim, serta dalam masa yang sama pihak penganjur menerapkan lebih kepada keselamatan semasa berkonvoi.
Turut diadakan gerai jualan, cabutan bertuah, tazkirah dan hiburan yang memberi manfaat kepada rider yang datang ke Terengganu. Majlis Perasmian Program Scooterian Mega Gathering 2023 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Taman Tasik, Kuala Nerus, semalam.
Kerajaan Negeri amat berbesar hati dengan penganjuran program seumpama ini kerana ianya secara tidak langsung memberikan impak ekonomi kepada rakyat Terengganu khususnya di kawasan sekitar tempat penganjuran sesuatu program itu.
SUMBER: TRDI