KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2022 – YBhg. Datuk Hj. Azmi Bin Abdul Hamid, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL telah menyempurnakan Majlis Perasmian Panic Button dan Petugas Rondaan Berkala Bagi Pemeriksaan Peralatan Panic Button Dalam Sistem Pembangunan CCTV di Taman-Taman Awam Utama di Kuala Lumpur bertempat di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur.
Kemudahan peralatan panic button ini merupakan salah satu usaha DBKL dalam meningkatkan tahap keselamatan warga kota ketika berada di taman-taman awam di Kuala Lumpur dan ianya juga merupakan komponen keselamatan tambahan bagi sistem pamantauan CCTV sediada yang telah mula dipasang di taman-taman rekreasi utama DBKL.
Sehingga kini sebanyak 42 panic button telah disediakan di taman-taman awam utama di Kuala Lumpur. Lokasi-lokasi yang telah ditempatkan kemudahan tersebut adalah:
- Taman Tasik Titiwangsa – 6 unit;
- Taman Botani Perdana – 6 unit;
- Taman Tasik Permaisuri – 6 unit;
- Taman Tasik Ampang Hilir – 4 unit;
- Taman Tasik Datuk Keramat – 4 unit;
- Taman Tasik Metropolitan Kepong – 6 unit;
- Taman Tasik Manjalara – 4 unit; dan
- Taman Metropolitan Batu – 6 unit.
Kemudahan ini boleh digunakan oleh pelawat taman yang berada dalam situasi kecemasan atau merbahaya yang memerlukan bantuan segera untuk menyampaikan aduan serta merta.
Panic button ini akan mula berfungsi apabila butangnya ditekan di mana isyarat kecemasan akan dihantar ke Bilik Pengawal dan akan diterima oleh pengawal atau renjer taman yang bertugas ketika itu.
Saluran intercom yang terbina merupakan platform komunikasi dua hala di antara pengawal dan pengadu bagi membolehkan segala butiran lanjut mengenai situasi kecemasan direkodkan. Bantuan awal akan segera dihantar ke lokasi sementara ketibaan jabatan atau agensi yang terlibat bagi kes kecemasan kategori berat.
Bagi memastikan kemudahan ini sentiasa dalam keadaan yang terbaik rondaan secara berkala oleh kakitangan Kuala Lumpur Control and Command Center (KLCCC) akan diadakan.
Warga kota dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan kemudahan ini seperti melakukan aktiviti vandalisme terhadap unit panic button yang telah disediakan.
SUMBER: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur