RIMBA ILMU: HUKUM PENDERMAAN ORGAN DAN TISU MENGIKUT FATWA AGAMA ISLAM

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 8: KESELAMATAN RAKYAT (PENGURUSAN PANDEMIK & KESELAMATAN KESIHATAN)

Pendermaan organ dan tisu bukanlah suatu yang baru di Malaysia kerana ia adalah satu kaedah rawatan yang telah diterima ramai di negara kita. Ini dibuktikan melalui statistik bilangan pengikrar yang ingin menderma setelah meninggal dunia iaitu seramai 515,530 orang (data sehingga Jun 2022). Dari jumlah ini, 10,278 orang pesakit sedang menunggu trasplan organ dari penderma.

Pendermaan organ dan tisu merujuk kepada proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, organ yang boleh diderma terdiri dari jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang, manakala tisu terdiri dari injap jantung, mata (kornea), tulang dan kulit.

Terdapat dua jenis penderma iaitu penderma hidup dan penderma kadaverik. Penderma hidup merujuk kepada individu yang dibenarkan mendermakan satu buah pinggang atau sebahagian hati, dan sum-sum tulang sahaja. Pendermaan semasa hidup terbahagi kepada 2 jenis iaitu pendermaan ada pertalian saudara (Living Related) dan pendermaan tiada talian saudara (non-living Related). Penderma Kadeverik pula merujuk kepada penderma yang telah meninggal dunia dan ia juga terbahagi 2 jenis iaitu penderma kematian otak dan penderma jantung berhenti berdegup.

Kematian otak ialah satu keadaan apabila tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak yang mengawal aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan dengupan jantung tidak berfungsi. Ini boleh terjadi akibat kecederaan otak yang menyebabkan bengkak ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk, pendarahan spontan akibat pecah urat saluran darah yang tidak normal atau tekanan darah yang tinggi, strok yang teruk, barah otak dan sebagainya. Seseorang yang kematian otak tidak akan mempunyai tindakbalas dan tidak bernafas, tapi dengan bantuan mesin (ventilator) jantung akan berfungsi seketika. Namun organ-organ lain akan mengalami kerosakan dan akhirnya degupan jantung akan berhenti dengan sendiri walaupun dengan sokongan mesin. Kematian jantung berhenti berdegup pula adalah kematian normal apabila seseorang itu disahkan mati kerana jantung terhenti berdegup

Secara umumnya, semua agama mengiktiraf pendermaan organ sebagai amalan yang mulia. Agama Islam melalui Majlis Fatwa Kebangsaan di Malaysia telah meletakkan hukum harus pada urusan pendermaan dan pemindahan organ pada bulan Jun 1970. Ianya diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit dan bukan untuk perniagaan (tiada unsur jual beli). Kaedah rawatan transplantasi juga diharuskan sekiranya ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup). Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana Allah SWT.

Melalui makalah terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Ugama Islam Singapura pada tahun 1986 telah mengeluarkan fatwa yang mengharuskan pemindahan organ dalam keadaan darurat bagi tujuan menyelamatkan nyawa. Di samping fatwa yang menyentuh pemindahan organ secara menyeluruh ini, fatwa-fatwa khusus mengenai pemindahan organ-organ tertentu juga dikeluarkan oleh Majlis Ugama berkenaan iaitu fatwa tahun 1995 mengenai keharusan pemindahan kornea mata atas dasar menghilangkan kemudaratan pesakit mata serta fatwa-fatwa tahun 2003 dan 2004 yang mengharuskan pendermaan jantung dan hati sama seperti buah pinggang bagi tujuan menyelamatkan nyawa pesakit.

Selanjutnya, fatwa Majlis Ulama Besar Arab Saudi pada tahun 1982 telah mengharuskan pemindahan organ atau sebahagian organ daripada manusia yang sudah meninggal dunia kepada orang lain dengan syarat wujud keperluan yang mendesak. Majlis ini juga sebulat suara mengharuskan pemindahan organ dilakukan daripada penderma yang masih hidup kepada penerima yang memerlukan organ tersebut. Selain itu, Majlis Fatwa Kuwait pada tahun 1979 telah memutuskan bahawa hukum memindahkan organ daripada si mati adalah harus, sama ada diwasiatkan atau tidak. Fatwa ini dikeluarkan berdasarkan keperluan yang mendesak (darurat) iaitu untuk menyelamatkan nyawa. Bagi penderma yang masih hidup, hukumnya juga harus tetapi menjadi haram jika organ yang ingin dipindahkan itu ialah organ-organ yang menyebabkan kematian jika dipindahkan seperti jantung dan paru-paru.

Di India, fatwa Majma’ al-Fiqhi al-Islami al-Hind Majma’ al-Fiqhi al-Islami al-Hind (Akademi Fiqh Islam, India) diasaskan bagi membantu umat Islam di India menangani isu-isu berkaitan hukum. Dalam persidangan di New Delhi pada Mac 1989, fatwa yang mengharuskan penggantian organ seorang pesakit dengan organ daripada orang lain atas dasar darurat dikeluarkan. Pemindahan organ boleh dilakukan daripada penderma yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Di negara barat, Majlis Syariah United Kingdom pada tahun 1995 telah mengeluarkan fatwa bahawa ia menyokong dan mengiktiraf pemindahan organ sebagai cara merawat penyakit atau menyelamatkan nyawa bersandarkan prinsip-prinsip syariah. Majlis tersebut juga mengharuskan waris si mati memberi kebenaran organ si mati dipindahkan bagi tujuan menyelamatkan nyawa orang lain. Fatwa ini bersandarkan prinsip dalam kaedah fikah iaitu ‘darurat mengharuskan perkara yang dilarang’ dan salah satu maqasid al-syar‘iyyah iaitu ‘memelihara nyawa’.

 

Artikel/Berita Terkini

TINDAKAN KES DIHASILKAN DIBAWAH AKTA KAWALAN BEKALAN 1961

RANTAU PANJANG 08 Mei : Pegawai Penguat Kuasa KPDN, Kelantan telah menerima serahan kes daripada PDRM Balai Polis Jeram Perdah …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗘𝗡𝗚𝗨𝗔𝗧𝗞𝗨𝗔𝗦𝗔𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗦𝗔𝗟𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗨𝗧𝗔𝗠𝗔

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Unit Falcon …
Maklumat Lanjut