KUALA LUMPUR: Aktiviti Gotong-Royong (GORO) Membasmi Wabak Demam Denggi dan Gotong-Royong (GORO) Mega 2.0 telah berlangsung di beberapa lokaliti di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) pada 15 Oktober 2022 yang bertujuan untuk memupuk semangat kejiranan dalam menjaga kebersihan persekitaran bagi membendung penularan wabak demam denggi.
Setakat Minggu Epidemiologi 40/2022 (sehingga 8 Oktober 2022), jumlah kes demam denggi yang dilaporkan di Malaysia adalah sebanyak 45,018 kes berbanding 20,376 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 26,642 kes (120.9%). Manakala kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 28 kematian akibat dari komplikasi demam denggi berbanding 14 kematian bagi temph yang sama pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 14 kematian (100%).
Bagi WPKL, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan setakat Minggu Epidemiologi 40/2022, adalah sebanyak 4135 kes berbanding 2353 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 1782 kes (75.7%). Manakala kumulatif kes kematian di WPKL adalah sebanyak 5 kematian berbanding 2 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 3 kematian (150%).
Antara lokaliti yang menjalankan aktiviti GORO pada 15 Oktober 2022 adalah seperti :
1)Apartment Kenari, Taman Melati
2) PPR Pantai Ria
3)PPR Ampang Hilir
Aktiviti GORO yang dijalankan ini merupakan satu inisiatif bersama penglibatan beberapa agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (Jabatan Kesihatan Dan Alam Sekitar dan Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya (JKWPKL&P) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai dan Titiwangsa, Alam Flora, SWCorp, Persatuan Penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, PGSS APM dan Perbadanan Pengurusan.
Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti Pameran promosi kesihatan, Pameran interaktif pelbagai agensi, Saringan kesihatan, Program kitar semula, Semburan racun jentik-jentik, Pertandingan mencari jentik-jentik (kanak-kanak bawah 12 tahun), Pertandingan GORO Blok Bebas Aedes dan Wellness on Wheels.
Semoga aktiviti GORO ini dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk secara bersama bagi membendung penularan wabak demam denggi di Ibu Kota. Masyarakat juga digalakkan untuk menjalankan Gotong-Royong Kendiri selama 10 Minit seminggu sekali sebagai inisiatif bersama untuk mencegah pembiakan jentik-jentik nyamuk.
SUMBER: DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR