PASIR MAS – Kelantan berjaya mencatat rekod sebagai negeri tertinggi di semenanjung dan ketiga tertinggi di Malaysia selepas Sabah dan Sarawak dalam penanaman pokok bagi Program Penghijauan Malaysia.
Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob memaklumkan bagi tahun 2021, Kelantan telah berjaya menanam 4.2 juta pokok.
“Jumlah pokok tersebut telah ditanam melalui pelbagai program yang melibatkan semua lapisan masyarakat yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, agensi-agensi awam, pihak-pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam Negeri Kelantan serta orang perseorangan,” katanya ketika berucap di Program Penanaman Sempena Kempen 100 Juta Pokok di Maahad Tahfiz Daril Ulum, Meranti, 30 Mei lalu.
Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi dan secara terus mengekalkan kawasan hutan yang mencukupi untuk kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar.
“Sehingga kini keluasan hutan simpan kekal di negeri ini adalah seluas lebih 629 ribu hektar bersamaan dengan 42 peratus daripada keluasan tanah Kelantan”, jelasnya.