IPOH – DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah wanita kini tetap teguh menunjukkan semangat yang tiada tara dalam keazaman untuk mencipta peluang diri sendiri termasuk orang lain.
“Dalam apa jua kerjaya, wanita sering perlu menempuh jalan yang lebih panjang, sukar dan landasan yang curam untuk mengejar matlamat mereka.
“Selain memberikan 110 peratus usaha di tempat kerja untuk memacu organisasi, mereka terus memenuhi peranan harian sebagai ibu, isteri, guru, orang kepercayaan, penghibur dan penyembuh,” titah baginda.
Baginda turut mengibaratkan wanita umpama kain yang mengikat keluarga untuk terus bersama. Keupayaan mereka untuk memainkan pelbagai peranan ini dengan sempurna adalah asas yang menyokong institusi keluarga.
DYMM Raja Permaisuri Perak bertitah pada majlis Simposium Wanita dalam Perubatan 2022 anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Perak di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8 Mac 2022.
Baginda bertitah sempena Hari Wanita Antarabangsa, satu perkara yang telah mengajar kita bahawa masa depan boleh menjadi cerah untuk kita semua jika kita menangani ketidaksamaaan yang berterusan.
“Ini termasuklah pihak yang menghalang wanita dalam bidang perubatan serta lain-lain kerjaya. Kita semua mesti berusaha lebih untuk memastikan wanita mencapai status yang sama dalam semua bidang kehidupan mereka, supaya dapat bersama-sama menghadapi cabaran hari esok,” titah baginda lagi.
Hadir sama, YABhg. Datin Seri Aezer Zubir, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak; YBhg. Datin Naziah binti Abdul Aziz, isteri kepada Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dato’ Dr. Ding Lay Ming dan Pengerusi MMA Perak, Dr. Satkunan Mark.
Sumber: SUK Perak



