COMBI PULAU PINANG AKTIF BANTU KOMUNITI

COMBI ialah singkatan bagi “Communication for Behavioural Impact” atau “Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku”. COMBI diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2001 sebagai salah satu strategi untuk menangani masalah Denggi di Malaysia. COMBI merupakan satu pendekatan dinamik yang menggunakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi untuk mempengaruhi individu, keluarga dan komuniti ke arah perubahan tingkah laku yang sihat. Pendekatan COMBI dibangunkan berasaskan teori-teori perubahan tingkah laku, komunikasi dan pemasaran bagi menangani isu-isu sosial. COMBI juga merupakan satu pendekatan yang menyeluruh lagi fleksibel untuk merancang, melaksana dan memantau tindakan-tindakan mobilisasi sosial dan komunikasi yang boleh diubahsuai dan diuji mengikut objektif-objektif tingkah laku yang telah dipilih.

MATLAMAT COMBI

  1. Menggerakkan pelbagai sektor komuniti untuk menangani sesuatu isu dalam komuniti
  2. Mewujudkan tanggungjawab bersama dalam komuniti
  3. Mempengaruhi serta mengukuhkan keputusan / tingkah laku / norma sosial dalam komuniti

PRINSIP ASAS COMBI

  1. Menentukan tingkah laku khusus
  2. Integrasi tindakan-tindakan komunikasi
  3. Pemantauan kemajuan ke arah pengekalan tingkah laku secara berterusan

Di Pulau Pinang, pasukan COMBI giat melaksanakan gotong-royong pembersihan kawasan komuniti dalam usaha membanteras Denggi. Selain itu, COMBI Negeri Pulau Pinang pada ketika ini turut bergerak membantu menghantar bakul makanan bagi beberapa lokaliti kes-kes kuarantin di negeri ini. Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada pasukan COMBI Negeri Pulau Pinang atas usaha murni yang diberikan.

#KeluargaMalaysia

Sumber:

Laman Web Rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

Laman Facebook COMBI Negeri Pulau Pinang