PASIR MAS – Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga pemilik kereta jenis Audi A4 berwarna putih bagi membantu siasatan berhubung penahanan tekong, pemandu dan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Lubok Kawah, Rantau Panjang pada 17 Februari 2022 (Khamis) lalu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir memaklumkan, suspekย dikenali sebagai Mohammad Shah Adnan Abdul Wahab, beralamat di Kampung Nibong, Tok Uban, Pasir Mas. Bertindak atas maklumat pada Khamis jam 4.30 petang semasa membuat rondaan, pihak PDRM terserempak dengan sebuah kereta jenis Audi A4 berwarna putih bernombor pendaftaran JPL 7898 di Kampung Nibong Tok Uban.
Suspek telah bertindak cuba merempuh anggota yang bertugas selepas pihak polis memperkenalkan diri. Susulan tindakan ganas suspek, anggota bertugas terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah kereta suspek dari arah hadapan bagi tujuan memberhentikannya, walau bagaimanapun suspek telah bertindak memecut laju ke arah jalan besar.
Selepas lima kilometer mengejar suspek, pihak polis menemui kereta yang dinaikinya di hadapan sebuah rumah di Kampung Gelam, Tok Uban namun suspek berjayaย melarikan diri. Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952. Usaha mengesan suspek sedang diteruskan dan orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan boleh tampil atau menghubungi balai polis berhampiran.
Sumber: SINAR HARIAN