SETIU, Terengganu (5 Dis 2021) – Negeri Terengganu telah melancarkan satu projek penanaman Nanas MD2 yang akan dilaksanakan di kawasan tanah terbiar di Kampung Pak Kancil, Setiu yang berkeluasan sekitar 350 ekar. Dengan pelaksanaan projek ini, ia dijangka akan memberikan pulangan sebanyak RM14.4 juta pada Februari 2023 dan membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat dan mampu melahirkan lebih ramai usahawan tani pada masa hadapan. Ianya juga selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030)-Teras ke-2: Memanfaatkan keperluan dan Potensi Sumber Keberhasilan ekonomi negeri yang sedia ada dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Sebagai permulaan, sebanyak 1.8 juta pokok MD2 akan ditanam di kawasan seluas 60 ekar yang akan diuruskan oleh penduduk setempat yang berumur 18 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan penawaran pendapatan tetap sebanyak RM6,000 sebulan.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menurut beliau juga, projek itu merupakan usahasama antara Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Pejabat Daerah Setiu dan syarikat Ras Tanura Sdn. Bhd dengan pelaburan sebanyak RM10 juta. Hadir bersama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim dan Pegawai Daerah Khidmat Pengurusan Pejabat Daerah Setiu, Tn. Rosli Latif.
Dengan perlaksanaan projek ini, ia dilihat dapat menjamin kecukupan bekalan makanan khususnya untuk rakyat Terengganu selaras dengan Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 (Teras ke-7) yang berkaitan dengan Sekuriti Makanan. Ia juga turut membantu penduduk mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan ekonomi mereka yang menepati Teras ke-5 iaitu Keutuhan Ekonomi.