DUN: Nizam sebelum persidangan DUN bermula.
KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021-2025) berjaya memperoleh pencapaian keseluruhan sebanyak 94 peratus melibatkan 467 inisiatif.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Β sebanyak 366 inisiatif mencapai markah 100 peratus setakat Mei 2025 hasil Laporan Inisiatif Hala Tuju SMJ yang disediakan oleh Sekretariat SMJ.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi Sabah sentiasa bergerak secara positif dan bertambah setiap tahun dengan rekod hasil berjumlah RM77.8 bilion pada 2020 diikuti RM78.7 bilion pada 2021.
Katanya, Sabah turut merekodkan pertumbuhan ekonomi dengan pencapaian berjumlah RM82.1 bilion pada 2022, RM83.2 bilion pada 2023 dan RM84.3 bilion pada 2024.
“Jumlah perdagangan negeri Sabah pula melepasi angka RM100 bilion pada 2022 dengan mencatatkan jumlah perdagangan tertinggi iaitu berjumlah RM118 bilion, meningkat sebanyak RM30.8 bilion berbanding jumlah perdagangan yang direkodkan pada 2021 iaitu RM87.2 bilion.
“Baru-baru ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan perdagangan Sabah kekal kukuh apabila mencatat jumlah dagangan sebanyak RM107.8 bilion pada 2024, sekali gus melepasi paras RM100 bilion bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin (Gagasan Rakyat-Nabawan) mengenai peratusan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri melalui tiga fokus utama Pelan Pembangunan SMJ 1.0 yang bermula sejak 2021.
Nizam berkata, jumlah pendapatan negeri turut meningkat dan seterusnya belanjawan negeri dapat dipertingkatan dari tahun ke tahun.
Menurutnya, sepanjang 2021 hingga 2024, kerajaan negeri berupaya menjana pendapatan RM26.224 bilion termasuk RM3.591 bilion (2020), RM5.449 bilion (2021), RM6.960 bilion (2022), RM6.973 bilion (2023), dan RM6.842 bilion pada 2024.
“Antara faktor peningkatan pendapatan ini adalah hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri dengan PETRONAS yang berprinsipkan ‘Greater Say, Greater Participation, Greater Revenue’.
“Dalam sektor perindustrian, sejumlah 52 pelaburan dengan nilai pelaburan keseluruhan RM17.42 bilion berjaya direalisasikan dalam tempoh 2021 hingga 2024,” katanya.
Menurutnya, pada suku pertama 2025, sejumlah RM10.9 bilion jumlah pelaburan diluluskan di Sabah.
“Sepanjang 2021-2024, kerajaan negeri menerima pelaburan sebanyak 420 projek dengan nilai sejumlah RM35.38 bilion yang merangkumi pelaburan domestik iaitu RM20.61 bilion dan pelaburan asing iaitu RM14.77 bilion.
“Sabah turut mencatatkan kejayaan signifikan dalam menarik pelaburan di bawah pentadbiran kerajaan negeri pada 2021 hingga 2024. Ini menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap ekonomi negeri.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri juga merancang menubuhkan tiga taman perindustrian baharu, iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Bersepadu di Kota Belud atau Kota Marudu dan Taman Perindustrian Bersepadu di kawasan Beaufort dan Kimanis,” jelasnya.
Selain itu katanya, sektor pelancongan juga memberi impak positif terhadap ekonomi negeri dengan rekod kehadiran seramai 7,852,393 pelancong dan jumlah perbelanjaan pelancongan sejumlah RM16.84 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 sahaja, jumlah ketibaan pelancong yang direkodkan ialah seramai 1,437,570 orang terdiri daripada pelancong domestik 848,420 orang dan pelancong antarabangsa 559,150 orang dengan perbelanjaan pelancongan RM3.298 bilion.
“Kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberikan penekanan yang serius kepada pembangunan modal insan. Sepanjang 2021-2024, kerajaan membelanjakan sejumlah RM848.26 juta yang meliputi pelbagai bantuan pendidikan.
“Sejumlah RM485 juta turut diperuntukkan untuk membangunkan modal insan menjadikan keseluruhannya berjumlah RM1.33 bilion,” katanya.
Β
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Β
Sumber: Utusan Borneo Online