Seorang ahli perniagaan dalam bidang perkakasan mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas dipercayai ditipu sindiket tawaran perniagaan dalam talian yang tidak wujud. Mangsa berusia 30-an hanya menyedari ditipu apabila dikhendaki membayar sejumlah wang lagi bagi membolehkan wang keuntungannya dikeluarkan.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim, mangsa memaklumkan pada Ahad lalu, telah berkenalan dengan seorang wanita warga China yang memperkenalkan sebuah laman web bernama Yoox-Shooping. Wanita tersebut telah menawarkan kerjasama dalam urusan perniagaan dan meminta mangsa membuka sebuah kedai atas talian di laman web berkenaan.
Mangsa telah diminta membuat bayaran ke dalam 10 akaun bank berbeza bagi tujuan menaikkan penarafan kedai atas talian miliknya. Menurutnya, bayaran tersebut dilakukan menerusi 27 transaksi berasingan, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM703,337.41.
Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila wanita berkenaan sekali lagi meminta bayaran tambahan sebanyak RM300,000, bagi membolehkan keuntungan hasil peningkatan penarafan kedai tersebut dikeluarkan. Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum menjalankan sebarang urus niaga dalam talian, terutamanya yang melibatkan transaksi kewangan yang besar. Orang ramai juga diingatkan untuk tidak sesekali mendedahkan maklumat perbankan kepada individu yang tidak dikenali.
Sumber: Sinar Harian