PPM GAGALKAN CUBAAN SELUDUP MINYAK, BAJA DI SEMPORNA

SELUDUP: Antara baja jenis ammonia dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina yang berjaya dirampas.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan berasingan di perairan Pulau Boheyan, di sini, melibatkan rampasan minyak dan baja ammonia yang dianggarkan bernilai lebih RM65,000.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata kejadian pertama berlaku semalam, jam 12.35 tengah malam.

Katanya, sepasukan anggota PPM Semporna mengesan sebuah bot mencurigakan di perairan Pulau Boheyan, sebelum bot berkenaan bertindak melarikan diri namun berjaya dipintas.

“Pemeriksaan mendapati dua lelaki warga Filipina berusia 23 dan 34 tahun berada dalam bot berkenaan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Turut ditemukan 40 gelen kosong yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan minyak ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM38,800 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa pas dan Seksyen 31(2) Akta Polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE Sabah,” katanya.

Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan awal pagi tadi, kira-kira jam 5.45 pagi, pasukan PPM sekali lagi menggagalkan cubaan penyeludupan di pesisir pantai Pulau Boheyan.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan mendapati sebanyak 40 guni baja jenis ammonia dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina.

“Rampasan itu dianggarkan bernilai RM26,600.00 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohd Nazri menegaskan pihaknya akan terus komited dalam membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negeri ini demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Rondaan dan operasi akan terus dipertingkatkan khususnya di kawasan berisiko tinggi penyeludupan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …