PANTAU: James (tengah) semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan pusat penjagaan warga emas di Telupid.
TELUPID: Golongan warga emas yang memerlukan penjagaan dan perlindungan di daerah ini bakal ditempatkan di pusat penjagaan khas yang dinamakan sebagai Rumah Warga Tua Kendiri Telupid.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, kos bagi projek itu berjumlah RM2.5 juta dan dijangka siap pada Disember 2025.
Katanya, projek berkenaan adalah di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) yang dalam pembinaan berhampiran Pejabat JPKA Daerah Telupid.
Menurutnya, projek itu bertujuan membina bangunan asrama dan pentadbiran untuk menempatkan warga emas yang memerlukan penjagaan dan perlindungan.
“Golongan sasaran bagi pusat penjagaan khas ini adalah warga emas yang masih sihat, tetapi keseorangan, tiada tempat tinggal, dan masih mampu berusaha.
“Asrama ini akan menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat, memastikan kesejahteraan fizikal dan mental mereka terjaga.
“Selain itu, bangunan pentadbiran akan berfungsi sebagai pusat pengurusan yang mengatur segala keperluan dan aktiviti penghuni,” katanya semasa membuat lawatan kerja di sini pada Isnin.
Beliau turut berharap, projek berkenaan dapat memberi peluang kepada warga emas untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna, dengan sokongan komuniti serta kemudahan yang disediakan.
Selain itu katanya, pusat itu diharap memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyumbang dan berusaha dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Walter Kenson dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Jais Asri.
PRIHATIN: Penghuni PPS di Kampung Pinangah Tongod menerima bantuan daripada James (tiga kiri) semasa lawatan itu.
Sementara itu, James turut mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Mini dan Dewan Terbuka Kampung Pinangah Tongod bagi menyampaikan bantuan kepada kira-kira 81 mangsa kebakaran daripada 56 keluarga yang berlaku di sini baru-baru ini.
“Selain bantuan wang tunai, pihak Jabatan Kebajikan juga meminta senarai nama pelajar-pelajar yang kehilangan pakaian, peralatan sekolah dan sebagainya, supaya bantuan yang sepatutnya dapat disalurkan dengan segera.
“Saya juga berharap agar pihak kerajaan dapat mendirikan rumah-rumah sementara kepada semua mangsa yang terlibat dengan secepat mungkin memandangkan mereka sudah seminggu menduduki di PPS.
“Setakat ini hanya lebih kurang lima keluarga yang berpindah ke rumah keluarga, sementara yang lain belum ada rumah untuk diduduki, dan keadaan di PPS kini sudah terlalu sesak,” katanya.
James berkata, kementeriannya melalui JPKA dan Klinik Kesihatan Pinangah, akan terus memantau PPS berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan makanan serta tahap kesihatan penghuni PPS terjaga dan berada dalam keadaan baik.
Sementara itu, beliau sendiri melawat ke lokasi kebakaran dan mendapati rumah-rumah terbabit tersusun sebelum kejadian berlaku dan hampir kesemua penduduk di kawasan itu adalah rakyat tempatan.
Justeru, pihaknya akan membangkitkan perkara itu dalam kabinet agar kerajaan dapat menjalankan sebarang usaha untuk membantu mereka yang terlibat dengan kadar segera.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Boreno Online