TUMPAHAN MINYAK DARI SINGAPURA: HAMPIR 200 NELAYAN TAK DAPAT TURUN KE LAUT

KOTA TINGGI: Hampir 200 nelayan di pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang di sini, terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut sejak lima hari lalu akibat kesan tumpahan minyak.

Ia berikutan kejadian pelanggaran kapal Jumaat lalu di sebuah pelabuhan dalam wilayah Singapura, yang menyebabkan tumpahan minyak sebanyak 400 tan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pengkalan Sungai Rengit, Rosli Mohd Ali, 56, berkata sejumlah 183 nelayan yang menjadi ahli persatuan itu terpaksa menunggu sehingga kesan tumpahan minyak di kawasan pesisir pantai di Sungai Rengit pulih bagi mengelak lebih banyak kerugian dialami.

Katanya, kejadian disedari komuniti nelayan Isnin lalu, sewaktu mencari hasil laut di perairan Sungai Rengit.

“Kita sedar apabila nampak tompokan hitam terapung di laut, terus kita tarik jaring dan pulang ke jeti. Sampai saja di jeti, baru kita nampak kesan banyak tompokan minyak di tepi pantai.

“Keesokkannya nelayan tidak boleh turun ke laut untuk menangkap ikan, kesan minyak ini jika terkena pada peralatan nelayan seperti jaring, pelampung dan tali memang tiada maaf, kena buang terus.

“Jaring nelayan ini ada simpulan yang kita panggil buku untuk mata jaring, kena minyak memang tidak hilang. Apabila kita pakai juga jaring yang tercemar dan rosak, hasil tiada sebab berbau,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit hari ini.

Rosli berkata, kejadian tumpahan minyak pernah terjadi 10 tahun lalu, di mana kesannya sangat teruk kepada komuniti nelayan.

Katanya, ketika itu lebih 30 bot nelayan terkena minyak sehingga ke dek apabila arus kuat dan berombak membawa air yang tercemar minyak ke kawasan muara sungai, yang menempatkan bot mereka.

“Tompokan minyak ini mengikut arus, apabila pasang akan masuk ke muara sungai dan surut pula akan tersangkut. Apabila panas di kawasan pantai akan nampak berketul-ketul minyak, kalau ikutkan pelanggaran kapal itu berlaku di Singapura, tetapi boleh sampai ke sini.

“Dalam situasi ini, kalau kita turun juga ke laut kerugian itu akan berlipat kali ganda. Peralatan nelayan bukan murah, jaring putih yang siap sehelai harganya mencecah RM360. Biasa nelayan laut dalam macam kami inia kan pakai 60 helai. Jadi, boleh kira ruginya kami kalau semua peralatan itu rosak terkena minyak.

“Kita tahu seandainya buat laporan pihak berkaitan akan ganti, tetapi ia mengambil masa hampir sebulan untuk siapkan jaring. Kena tunggu lagi lama.

“Lebih baik kami tunggu pihak berkuasa membersihkan pantai dan laut daripada rugi berganda,” katanya yang sudah 30 tahun menjadi nelayan laut dalam dan nelayan pantai.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut