7 ‘ANGGOTA MUDA’ GENG 24 DITAHAN KES PUKUL PELAJAR SEKOLAH

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh anggota kumpulan haram Geng 24 yang disyaki memukul dan memaksa dua pelajar sekolah untuk menyertai kumpulan mereka dalam dua kejadian berasingan di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kesemua suspek ditahan susulan dua laporan polis yang diterima berkait kejadian yang dilaporkan berlaku pada 16 dan 17 Mei lalu.

Katanya, laporan pertama pada 16 Mei diterima pada jam 12 tengah hari daripada pelajar lelaki berusia 13 tahun.

“Kejadian berlaku di satu lokasi di Bandar Sungai Long yang mana mangsa ditahan sekumpulan lelaki terdiri dari pelajar sekolah yang sama kerana berselisih faham mengenai seorang rakan mangsa yang dicari mereka namun gagal ditemui.

“Mangsa ‘disoal siasat’ serta dipukul oleh dua suspek dengan menggunakan kaki dan tangan serta senjata sebatang besi. Akibatnya, mangsa cedera di bahagian kepala dan kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Laporan polis kedua pula, katanya diterima daripada pelajar lelaki berusia 14 tahun pada jam 1 pagi, 17 Mei lalu.

“Ketika mangsa sedang makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran makan di kawasan Bandar Mahkota Cheras, tiba-tiba didatangi sekumpulan lelaki mengajak mangsa untuk menyertai kumpulan haram iaitu Geng 24.

“Mangsa menolak ajakan itu menyebabkan tiga daripada anggota kumpulan itu memukul mangsa dan rakannya dengan menggunakan kerusi plastik yang berada di dalam restoran sebelum semua suspek melarikan diri,” katanya.

Dalam kejadian itu, katanya mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan tangan.

“Susulan dua laporan polis yang diterima itu, kita berjaya menahan tujuh lelaki tempatan berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun yang disyaki terbabit dalam kedua-dua kejadian terbabit.

“Kita percaya kedua-dua kes ini membabitkan suspek daripada kumpulan yang sama,” katanya yang memaklumkan tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Berikutan itu, katanya polis membuka dua kertas siasatan berkait kes ini secara berasingan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, salah satu kertas siasatan kes ini telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan telah mendapat arahan tuduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan ke atas dua suspek.

“Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada jam 9 pagi tadi, manakala satu lagi kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 atau Inspektor Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut