COVID-19:Perak Sedia Tambah Pusat Kuarantin.

IPOH, 21 DIS: Kerajaan negeri bersedia untuk membuka lebih banyak Pusat Kuarantin mengikut keperluan untuk menempatkan kontak rapat kes COVID-19 sekaligus mengekang penularan pandemik itu dalam masyarakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia merupakan langkah proaktif yang dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JKPBN) di samping menjalankan pelan pencegahan dan kawalan.

“Saya sudah meminta supaya tahap kesiapsiagaan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menghadapi segala kemungkinan.

“Setakat ini kita belum ada lagi senarai lokasi, tetapi kita bersiap sedia ke arah itu (penambahan pusat kuarantin),”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani selaku Pengerusi JKPBN negeri berkata, pihaknya turut mengarahkan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menguruskan empat Pusat Kuarantin sedia ada iaitu di Hotel Eastana, Ipoh, Hotel Fair Park, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sultan Azlan Shah Ulu Kinta dan Institut Latihan KKM Sungkai.

Selain itu katanya pihaknya juga mengarahkan agar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipertingkatkan oleh agensi penguatkuasa.

Ia memandangkan risiko pergerakan rakyat keluar dan masuk ke Perak dari zon merah luar negeri Perak dan berlakunya isu penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti yang tidak diketahui punca jangkitan.

“Kita juga meminta kerjasama pihak Jabatan Tenaga Buruh agar pemantauan pematuhan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 di kilang dipertingkatkan kerana risiko berlaku kejadian kluster di kilang adalah tinggi,” katanya.

Saarani berkata, sehingga semalam hanya 10 kes baharu dilaporkan di sekitar negeri ini membabitkan enam kes di daerah Hilir Perak, tiga kes di Kinta dan satu kes di Perak Tengah.

Dalam tempoh yang sama, jumlah kes kumulatif di Perak ialah sebanyak 2,857 kes.

“Berdasarkan taburan kes mengikut daerah, terdapat lima daerah yang masih mencatatkan kes semasa Covid-19 di Perak iaitu daerah Kinta, Larut Matang dan Selama (LMS), Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Muallim.

“Mukim Chemor dan Changkat Jong pula dikategorikan sebagai Zon Merah,”katanya.

Sehubungan itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan berkenaan masih dikuatkuasakan sehingga 31 Disember ini.

“Enam daerah lain sudah kembali menjadi daerah hijau berikutan tiada kes baru direkodkan sejak 14 hari yang lalu,” katanya.

Sumber Berita : Suara Perak

 

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut