Utusan Malaysia 27 Mac 2016 : PENDEKATAN KESELAMATAN KOMPREHENSIF

Bagai sireh pulang ke gagang. Selepas 15 tahun meninggalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Seri Alias Ahmad kembali semula sebagai Setiausaha MKN pada 14 Mac lalu.

Sepanjang tempoh tujuh tahun di MKN dari tahun 1993 hingga 2000, beliau pernah menduduki pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Pengarah MKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semasa tiga krisis serentak tahun 1998 iaitu demonstrasi jalanan Reformasi, jerebu dan fenomena El Nino.

YBhg. Dato' Sri SUM MKN

Bidang keselamatan bukanlah perkara asing bagi beliau yang sebelum ini juga merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen.

Bersama wartawan, NORLIZA ABD. RAHMAN dan KAMIL MASLIH , beliau berkongsi pendekatan yang akan diterapkannya untuk MKN iaitu pendekatan berasaskan keselamatan komprehensif dan inisiatif menangani ancaman-ancaman keselamatan secara strategik.

MINGGUAN: Pertama sekali, tahniah Datuk Seri. Bagaimana perasaan Datuk Seri apabila diberikan amanah dan tanggungjawab besar ini?

ALIAS: Terima kasih atas ucapan. Saya sebenarnya mengambil sikap positif untuk menerima tanggungjawab menerajui sebuah agensi pusat yang berkaitan keselamatan negara. Lebih-lebih lagi skop keselamatan sekarang adalah lebih besar dan meluas serta meliputi pelbagai aspek tentang sistem dalam negara atau menyentuh elemen-elemen keselamatan antarabangsa. Saya yakin, dengan langkah-langkah strategik, pengurusan keselamatan negara dapat dilaksana dengan teratur dan berkesan.

Datuk Seri berpengalaman luas dalam bidang pengurusan keselamatan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan. Apakah antara perancangan awal yang MKN akan dibewri penekanan?

ALIAS: MKN telah ditubuhkan pada tahun 1971, hampir 45 tahun yang lalu. Kewujudan sebuah agensi pusat ini telah menunjukkan mekanisme yang berkesan untuk menguruskan keselamatan negara. Ia telah berjaya mengekang dan membanteras anasir-anasir subversif termasuk ancaman Parti Komunis Malaysa (PKM) pada masa lalu, ekstremisme kaum, pelampau agama, jenayah-jenayah terancang serta jenayah rentas sempadan. Namun ancaman keselamatan boleh berubah dari semasa ke semasa. Contohnya, ancaman keselamatan semasa Perang Dingin tentu tidak sama dengan ancaman keselamatan selepas Perang Dingin. Begitu juga semasa era sekarang, era globalisasi dan era Internet.

Oleh itu, dalam landskap keselamatan global masa kini, saya mengambil inisiatif dan pendekatan berasaskan keselamatan komprehensif untuk menempatkan MKN dalam menghadapi secara strategik ancaman-ancaman serta isu-isu keselamatan negara yang berlaku dewasa ini. Langkah pertama adalah untuk memperkuatkan tunjang kita supaya kuat, stabil dan berkeupayaan. Saya sudah mengadakan beberapa siri taklimat sejak saya masuk ke MKN dan mengarahkan semua bahagian di MKN untuk melihat kembali fungsi-fungsi mereka ke arah transformasi. Saya juga menekankan aspek-aspek perubahan minda terhadap konsep dan strategi keselamatan negara pada masa ini.

Antara perkara pokok ketika ini adalah tentang Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN). Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang perlu diperhalusi. Datuk Seri boleh ulas?

ALIAS: Pembentukan RUU MKN ini telah melalui proses yang teratur dan mengikut sistem perundangan dan sistem Perlembagaan yang ada di negara ini. Pertamanya, jemaah menteri yang bersidang pada 27 November 2015 telah bersetuju supaya RUU MKN digubal dan dibentangkan di Parlimen. Dengan itu, RUU ini telah dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 dan diluluskan. Begitu juga Dewan Negara telah meluluskannya pada 25 Disember 2015. Di bawah sistem Perlembagaan kita sekarang, RUU yang dibahas dan diluluskan oleh kedua-dua dewan tersebut adalah sah menjadi undang-undang.

Mengapa negara memerlukan Akta Majlis Keselamatan Negara?

ALIAS: Mana-mana agensi atau organisasi kerajaan memerlukan undang-undang tubuh mereka sendiri. Jadi setakat ini, MKN tidak ada undang-undang tubuh. Oleh sebab itu, kita perlukan suatu rang undang-undang yang dinamakan RUU MKN ini. Pertamanya, khusus untuk mewujudkan MKN ini secara perundangan. Keduanya, meningkatkan penyelarasan maklumat dan risikan tentang ancaman keselamatan negara. Ketiga, mewujudkan mekanisme tindak balas ke atas ancaman keselamatan negara.

Sebelum ini, kita memiliki Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Jadi, arahan Pengarah Gerakan Negara iaitu Perdana Menteri terpakai pada masa itu. Bila Ordinan Darurat dan ISA ini dimansuhkan, maka tiada cover (kuasa undang-undang) untuk MKN lagi. Sudah tentu dengan adanya Akta MKN itu sendiri dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dan pematuhan kepada arahan-arahan yang MKN telah dibuat. Setakat ini, terdapat 24 arahan MKN (Arahan MKN 24) dan arahan-arahan MKN itu ditandatangani Perdana Menteri sebagai Pengarah Gerakan Negara

Bagaimana dapat dijelaskankan kepada rakyat untuk tidak khuatir tentang bidang kuasa akta berkenaan?

ALIAS: Pelaksanaan undang-undang ini sebenarnya ada semak dan imbang. Tiada individu yang mempunyai kuasa mutlak untuk membuat arahan dalam segala arahan MKN. Contohnya dalam Perisytiharan Kawasan Keselamatan, sebelum Perdana Menteri membuat keputusan, beliau mendapat nasihat daripada Sidang Majlis Keselamatan Negara yang dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan dan dua bekas Panglima Angkatan Tentera serta Ketua Polis Negara.

Sidang ini menasihati sekiranya ada keperluan sesuatu kawasan keselamatan itu untuk digazetkan dan Perdana Menteri buat keputusan itu di bawah Seksyen 18 akta berkenaan. Keputusan atas nasihat sidang itu akan dibentang ke Parlimen pada sidang Parlimen terhampir untuk dibahaskan. Dewan Rakyat boleh membuat keputusan untuk menerima atau menolak keputusan Perisytiharan Kawasan Keselamatan itu. Selain itu, kuasa perisytiharan itu hanya setakat enam bulan dan perlu melalui proses di Parlimen sekiranya hendak diperbaharui. Saya tidak nampak manipulasi undang-undang yang perlu dikhuatiri kerana proses menerusi sistem perundangan ini jelas.

Melihat kepada serangan pengganas di Paris, Jakarta, Ankara dan terbaharu sekali di Brussels, bagaimana MKN selaku agensi penyelaras menyusun strategi menjaga keselamatan negara?

ALIAS: Buat masa ini, MKN mempunyai mekanisme khusus untuk menangani keganasan iaitu melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara No.18 - Pengendalian dan Pengurusan Krisis Pengganas (Terrorisme) yang diperkenalkan pada 10 Julai 2002. Namun demikian, persoalan yang seringkali timbul adalah persediaan negara menghadapi dan menguruskan ancaman pengganas. Saya berpendapat kita perlu menguatkan empat komponen utama sebagai asas operasi iaitu pencegahan, pengertakan (deterrence), penjangkaan dan tindak balas. Empat perkara ini kita perlu dalami dan halusi dalam setiap prosedur operasi standard (SOP).

Jadi pemantauan yang berterusan dan peranan risikan dalam negara serta luar negara amat penting untuk mengenal pasti rangkaian dan pergerakan pengganas. Kita tahu bahawa sumber kewangan dan komunikasi berkesan adalah nadi kepada kehidupan pengganas. Aspek-aspek ini perlu ditangani dan diputuskan hubungan dengan pengganas. Secara umumnya, aspek yang perlu diperkemaskan dalam menangani aktiviti-aktiviti keganasan yang mempunyai rangkaian antarabangsa ini adalah bagaimana keberkesanan risikan kita dan penguatkuasaan yang kita ada. Selain itu, setakat mana undang-undang dapat kita laksanakan dengan jelas dan setakat mana hubungan baik kita dengan negara-negara serantau dan antarabangsa untuk berkongsi maklumat mengenai aktiviti keganasan.

Dengan penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) di bawah Jabatan Perdana Menteri, masih ada lagikah peranan MKN dalam menghadapi situasi-situasi bencana besar negara?

ALIAS: APBM ditubuhkan secara khusus untuk tangani bencana di semua peringkat, dari daerah, negeri atau negara. MKN pula akan melihat kepada impak serta kesan selepas sesuatu bencana yang menjejaskan secara langsung kehidupan dan keharmonian rakyat. Sebagai contohnya, adakah bekalan makanan mencukupi. Selain itu, jika ada isu sorok barangan sehingga bekalan tiada atau peniaga ambil kesempatan menaikkan harga, MKN harus campur tangan agar tidak berlaku kesan-kesan sampingan yang menjejaskan kesejahteraan rakyat. Selain itu, isu-isu alam sekitar berkaitan dengan keselamatan dan memerlukan tindakan susulan agar tidak timbul perasaan negatif rakyat terhadap kerajaan dan negara kita.

Tanggungjawab MKN begitu luas kerana ancaman merangkumi pelbagai bentuk termasuk berkaitan hak asasi manusia, pemanasan global, ancaman ekonomi dan jenayah rentas sempadan. Apakah langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan tahap kecekapan pengurusan ancaman-ancaman ini?

ALIAS: MKN harus meletakkan organisasi ini cekap dan sentiasa memperbaharui dari segi kemahiran untuk menangani isu-isu yang berlaku dari semasa ke semasa. Bagi tujuan ini, MKN akan menumpukan bidang latihan melalui kursus-kursus pembangunan kapasiti dan membentuk mereka menjadi pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan pelbagai bentuk ancaman masa kini. Kita mesti ada pegawai mahir dalam bidang, contohnya seperti nuklear, keselamatan siber, ancaman kimia, alam sekitar dan ancaman ekonomi. Semua ini akan membantu kita memahami lebih jelas tentang ancaman yang sangat kompleks pada masa kini.

Keduanya, kita mesti memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan pada tahap yang betul supaya dapat menangani isu-isu ancaman itu daripada peringkat awal sebelum menjadi lagi besar. Ketiga, kita menekankan latihan amali. Kita mahu pegawai dan kakitangan membuat latihan amali supaya mahir mengendalikan kes-kes atau isu-isu tertentu. Kita tidak boleh bercakap atas kertas sahaja, menghadiri seminar tapi tiada latihan amali sama ada dalam bangunan atau di lapangan.Keempat, kita minta saling tingkatkan kerjasama dengan agensi-agensi dan kementerian-kementerian berkaitan dan kelima, meningkatkan keberkesanan risikan sama ada dalam negara atau luar negara.

Seringkali masalah yang dikatakan berlaku dalam pengurusan adalah masalah koordinasi yang kadang-kala boleh berlaku antara agensi-agensi kerajaan serta kerajaan-kerajaan negeri. Apakah yang boleh dilakukan agar kesilapan dahulu tidak berulang?

ALIAS: Sepatutnya tiada masalah. Kekeliruan akan terjadi apabila pegawai-pegawai yang terlibat dalam pengurusan ini tidak memahami SOP dan tidak faham terhadap arahan-arahan yang jelas ada dalam semua arahan MKN. Mekanisme ini wujud dan boleh dilaksanakan di semua peringkat, baik di peringkat daerah, negeri atau nasional. Manakala (peranan) semua pasukan keselamatan yang berada di barisan hadapan atau barisan kedua atau barisan sokongan sudah jelas. Jadi tidak perlu diperincikan di sini kerana mekanisme ini terhad diguna pakai oleh agensi-agensi berkenaan.

Isu pencerobohan Cameron Highlands antara isu utama yang ditangani MKN, bagaimana perkembangan ketika ini?

ALIAS: MKN telah melaksanakan Ops Gading untuk menangani isu-isu pencerobohan tanah haram dan pendatang tanpa izin (PATI) di Cameron Highlands. Fasa pertama ops ini adalah 1 Disember 2014 sehingga 24 Disember 2015. Fasa kedua pula telah mula dilaksanakan pada 7 Mac lalu. Ops Gading ini melibatkan lebih 500 anggota daripada pelbagai agensi termasuk MKN, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan agensi-agensi di peringkat negeri. Pencapaian operasi secara keseluruhannya setakat ini adalah 83.7 peratus. Mengapa saya kata 83.7 peratus? Ini kerana jumlah tanah yang diteroka secara haram yang dalam radar kita adalah seluas 5,580 ekar (2232 hektar). Kita telah bersihkan penerokaan haram seluas 4,675 ekar (1870 hektar) ekar, maknanya ada baki lagi 905 ekar (362 hektar).

Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk memastikan pencabulan alam semula jadi itu tidak berlaku di tempat-tempat lain?

ALIAS: Tanah-tanah ini sebenarnya milik kerajaan negeri dan pejabat tanah harus sentiasa peka membuat pemantauan terhadap pencerobohan di daerah-daerah masing-masing. Sekiranya, berlaku pencerobohan dan mereka tidak berupaya menjalankan operasi, mereka boleh menghubungi pihak berkuasa di ibu negeri untuk mengkoordinasikan penguatkuasaan di peringkat negeri, jadi tidak perlu sampai ke peringkat MKN. Maknanya, dipantau lebih awal dan dibendung dari awal. Bagi aktiviti PATI pula, bolehlah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.

Akhirnya sekali, apakah rancangan jangka panjang yang akan dilihat oleh MKN untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan ancaman-ancaman keselamatan dapat ditangani dengan baik?

ALIAS: MKN perlu kukuh berada di depan untuk menggubal strategi keselamatan negara bagi jangka sederhana dan jangka panjang sebagai rujukan yang jelas. Selain itu, struktur pengurusan keselamatan negara perlu lebih strategik dan mapan dengan mengurangkan kepelbagaian command and control'(arah dan kawal) supaya tidak berlaku kerugian sumber, terlepas pandang dan terlepas sasaran. Di samping itu, dalam mana-mana organisasi keselamatan, peranan perisikan dan hasil-hasil risikan yang tepat dan berkesan adalah sangat penting. Oleh itu, MKN akan mengkaji beberapa model di beberapa negara utama tentang struktur badan-badan perisikan ini sama ada bersesuaian untuk kita jadikan rujukan.

Sumber : Utusan Malaysia, 27 Mac 2016

Sempena dengan Bulan Keselamatan Negara (BKN) bermula 1 hingga 31 Ogos 2019 ini mari lah kita seluruh rakyat Malaysia menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.  
Subuh 05:49
Syuruk 07:10
Zohor 13:22
Asar 16:46
Maghrib 19:30
Isyak 20:45