Teks Ucapan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia Sempena Majlis Pelancaran Buku Dasar Keselamatan Negara

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi Nasta’in,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi

Timbalan Perdana Menteri,

YB Ahli-Ahli Jemaah Menteri,

YBhg. Tan Sri Ali bin Hamsa 

Ketua Setiausaha Negara,

YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua – Ketua Setiausaha, Ketua- Ketua Perkhidmatan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

BAHAGIAN  I : PENDAHULUAN

 

1. Alhamdulillah, pertama-tamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan limpahan kurniaNya jua, maka pada hari ini, dapat kita berkumpul bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Dasar Keselamatan Negara.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Zulkifeli bin Mohd Zin, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, di atas pelancaran Buku Dasar Keselamatan Negara yang penuh bermakna ini.

3. Pada hemat saya, penerbitan ini amat sesuai dan tepat pada masanya, khusus dalam usaha Kerajaan untuk menjaga keamanan serta keselamatan negara, yang juga menepati prinsip Maqasid Syariah, seperti yang telah digariskan oleh agama Islam. Syabas diucapkan!

 

BAHAGIAN  II: DASAR KESELAMATAN NEGARA

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

4. Seingat saya, pada 19 Oktober 2015, Kerajaan telah mengumumkan bahawa, pengurusan keselamatan negara akan ditransformasikan menerusi penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 atau Akta MKN 2016 dan menggubal Dasar Keselamatan Negara.

5. Akta MKN 2016 kemudiannya, mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2016. Meskipun Akta ini menerima pelbagai tohmahan dan persepsi negatif, khususnya daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, namun, setelah hampir setahun dikuatkuasakan, kita bersyukur, tiada sebarang impak negatif pun yang wujud.

6. Malah, saya difahamkan juga, MKN telah berjaya menyelesaikan pelbagai isu-isu keselamatan dalaman dan luaran, antaranya ketegangan diplomatik dengan Korea Utara baru-baru ini, telah dapat diselesaikan dengan baik.

7. Terkini pula, Dasar Keselamatan Negara tersebut telah digubal dan diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari 2017, selaras dengan Akta MKN 2016.

8. Berhubung itu, Dasar Keselamatan Negara ini akan menjadi dasar payung atau the overarching policy dan rujukan kepada dasar-dasar sedia ada, yang berkaitan dengan keselamatan negara, seperti Dasar Keselamatan Dalam Negeri, Dasar Pertahanan Negara dan lain-lain dasar yang menjurus kepada keharmonian hidup rakyat serta negara ini.

9. Tambahan lagi, Dasar Keselamatan Negara ini diperkenalkan sebagai dokumen rujukan utama kepada semua Agensi Persekutuan dan Negeri dalam menggubal dasar-dasar sedia ada, bagi memastikan negara berupaya mencegah serta menangani pelbagai ancaman keselamatan yang semakin dinamik dan kompleks.

10. Kerana, keselamatan negara Malaysia pada asasnya merujuk kepada suatu situasi bebas daripada ancaman terhadap nilai-nilai teras negara, sama ada ianya berbentuk ancaman dari dalam mahupun luar negara.

11. Mustahaknya, Dasar Keselamatan Negara ini telah menetapkan 9 Nilai Teras Negara antaranya Kedaulatan dan Keutuhan Wilayah serta Keselamatan Rakyat, yang perlu dipertahankan melalui pelaksanaan 20 strategi utama, bagi menjadikan Malaysia bebas daripada segala bentuk ancaman, sama ada bersifat fizikal mahupun bukan fizikal, yang berpotensi mempengaruhi serta merosakkan pemikiran rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

12. Sesungguhnya, isu ancaman keselamatan global yang kini turut dihadapi oleh negara, dikatakan bersifat asymmetrical, yakni bersifat tidak seimbangdan turut melibatkan non-state actors.

13. Dalam konteks demikian, jika dahulu, negara ini pernah menghadapi pelbagai cabaran seperti ancaman komunis, peristiwa berdarah 13 Mei 1969, serangan kumpulan militan Al-Ma’unah, sehinggalah kepada tragedi pencerobohan pengganas di Lahad Datu Sabah pada tahun 2013,...

Maka yang terkini, kita berdepan pula dengan ancaman keganasan, angkara kumpulan ekstremis IS atau Daesh, yang perlu ditangani bersama oleh Kerajaan dan rakyat.

14. Alhamdulillah, setakat ini, atas usaha gigih Kerajaan dan pasukan keselamatan negara, kita telah berjaya mengekalkan keamanan serta keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

15. Sehinggakan, dalam sudut keselamatan dunia siber, Malaysia telah diiktiraf dan diletakkan pada tangga ketiga daripada 193 buah negara di dunia, dalam Global Cybersecurity Index 2017.

16. Bahkan, seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, berdasarkan Indeks Keamanan Global 2017 pula, Malaysia telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 buah negara di dunia. Tahniah diucapkan!

17. Berbalik kepada hal Dasar Keselamatan Negara tadi, dengan adanya dasar ini, apa yang saya mahukan adalah:

  1.  Satu: Semua Agensi di peringkat persekutuan dan negeri dapat merujuk kepada dasar ini dalam penggubalan dasar-dasar baharu.
  2. Dua: Menyemak dan meneliti dasar-dasar sedia ada, khususnya berkaitan dengan keselamatan negara, bagi memastikan dasar-dasar tersebut konsisten dengan Dasar Keselamatan Negara. Sekiranya dasar tersebut tidak konsisten, maka penambahbaikan dan pengubahsuaian hendaklah dilaksanakan sewajarnya.

18. Lantaran itu, sejajar dengan perubahan pantas lanskap keselamatan dunia, Kerajaan memutuskan agar Dasar Keselamatan Negara ini, akan disemak sekurang-kurangnya sekali (1) dalam tempoh 3 tahun.

19. Selanjutnya, saya turut dimaklumkan, pelaksanaan dasar ini akan dipantau melalui pembentukan Jawatankuasa Penyelarasan Peringkat Kementerian/Jabatan/Agensi, yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara.

20. Justeru itu, melalui Dasar Keselamatan Negara ini juga, saya berharap agar, semua rakyat akan lebih memahami, menilai dan menghayati, malahan bersedia untuk berjuang habis-habisan, dalam mempertahankan nilai-nilai teras negara, seperti yang terkandung dalam dasar ini, dalam apa jua keadaan sekalipun.

 

BAHAGIAN  III : PENUTUP

 

Tuan-Tuan dan puan-puan sekalian,

21. Jelasnya di sini, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya:

  1. Memberikan sokongan, berganding bahu dan bekerjasama demi menjamin survival Malaysia, sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat lagi merdeka, berlandaskan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
  2. Pastinya, Dasar Keselamatan Negara ini digubal bukan sahaja untuk keselamatan pertiwi pada masa kini, bahkan yang lebih utama dari itu, demi memastikan keamanan dan kesentosaan Negaraku ini akan terus berkekalan, sekaligus dapat diwarisi oleh generasi masa depan TN50 sampai bila-bila. InsyaAllah.

22. Akhir kalam, dengan lafaz BismillahirRahmanirRahim, saya sukacitanya melancarkan Buku Dasar Keselamatan Negara.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.                                   

Sekian, terima kasih.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk tahun 1440H / 2019M daripada warga Majlis Keselamatan Negara
Subuh 05:44
Syuruk 07:06
Zohor 13:19
Asar 16:45
Maghrib 19:28
Isyak 20:43