MKN Diminta Wujud Mekanisme Bendung Ancaman Siber

BERITA HARIAN - PUTRAJAYA ; 9 Mac 2017: Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta mewujudkan satu mekanisme untuk membantu membendung ancaman siber yang boleh mensabotaj ekonomi dan politik di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata MKN perlu melihat kepada konteks yang lebih besar dan bukan hanya tumpu kepada sesuatu yang biasa sahaja seperti ancaman siber kepada institusi.

"Sebagai contoh, ada beberapa pihak membuat kenyataan sehingga viral di media sosial kononnya warga Bangladesh keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, sehingga mampu mempengaruhi corak pengundian.

"Pihak yang buat dakwaan ini tidak mempunyai bukti kukuh dan mereka sengaja ambil kesempatan. Ini dikira sabotaj kestabilan politik walaupun tidak mengancam infrastruktur sesuatu institusi," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2017 (X-Maya 6) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) MKN, Datuk Zahari Alias.

MKN dengan kerjasama Cyber Security Malaysia menganjurkan latihan berkenaan sebagai persediaan menangani isu ancaman keselamatan siber yang menggugat kesejahteraan ekonomi dan keselamatan negara.

Abdul Rahman berkata, beliau juga banyak menerima pertanyaan daripada pihak luar mengenai kononnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH) akan muflis.

"Selain itu, ada pihak yang mengeluarkan kenyataan KWSP dan TH akan muflis. Perkara ini sangat berbahaya kerana ia akan memberi kesan negatif yang menjejaskan kedatangan pelabur dan pencarum, sekali gus mensabotaj ekonomi negara.

"Oleh itu, kita berharap ada satu pentas di bawah MKN yang dapat mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan berbahaya, sama ada memanggil atau memberi amaran kepada mereka," katanya.


  • Sila ke pautan Akta MKN 2016 di Laman Utama untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.
Subuh 05:48
Syuruk 07:02
Zohor 13:09
Asar 16:14
Maghrib 19:12
Isyak 20:21