Majlis Pelancaran Bulan Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam 2017

Dalam usaha Kerajaan untuk membentuk penjawat awam yang lebih bertanggung jawab dalam pengendalian maklumat digital Kerajaan dan penggunaan medium siber, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menganjurkan Program Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam 2017 selama sebulan pada bulan Oktober. Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penjawat awam berhubung etika penggunaan medium siber terutamanya dalam pengendalian maklumat digital Kerajaan.

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Peningkatan Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam pada 3 Oktober 2017 di Dewan Taklimat, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara, dalam ucapannya telah menyatakan bahawa Program Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam 2017 dilaksanakan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu menggunapakai platform dan aktiviti-aktiviti Kementerian yang telah dirancang dengan memasukkan elemen-elemen kesedaran keselamatan siber ke dalam program dan aktiviti-aktiviti yang dikenalpasti dan bersesuaian. Dalam majlis yang sama, Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara turut melancarkan Buku Garis Panduan 10 Langkah Mudah Kesedaran Keselamatan Siber. Buku ini mengandungi 10 langkah asas yang perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam sebagai usaha memupuk amalan terbaik dalam keselamatan siber dan melindungi maklumat digital Kerajaan, organisasi dan negara. 10 langkah asas ini melibatkan pengendalian kata laluan, pengemaskinian perisian keselamatan, penyimpanan dan perlindungan maklumat, etika penggunaan internet dan media sosial, mengelak daripada terpedaya, waspada terhadap jenayah siber dan pautan/lampiran yang mencurigakan, pelaporan insiden, peka terhadap ancaman siber terkini dan pematuhan terhadap dasar, arahan, peraturan, garis panduan dan pekeliling berkaitan keselamatan siber.

 

Pelbagai program kesedaran keselamatan siber telah dirancang sepanjang bulan Oktober 2017 yang melibatkan aktiviti ceramah dan kursus oleh pakar-pakar keselamatan siber negara dan akan dilaksanakan di pelbagai Kementerian dan Jabatan Kerajaan, termasuk pihak berkuasa tempatan. Penganjuran Program Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam 2017 oleh NACSA turut melibatkan rakan-rakan strategik lain seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU); Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; dan CyberSecurity Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk tahun 1440H / 2019M daripada warga Majlis Keselamatan Negara
Subuh 05:44
Syuruk 07:06
Zohor 13:19
Asar 16:45
Maghrib 19:28
Isyak 20:43