JAWATANKUASA STAFF PERANCANG / JAWATANKUASA PERINGKAT TERTINGGI MALAYSIA - INDONESIA

JAWATANKUASA STAF PERANCANG

Jawatankuasa Staf Perancang – Staff Planning Committee (SPC) merupakan badan tertinggi di bawah GBC yang dipengerusikan secara bersama oleh Kepala Staf Umum Angkatan Bersenjata Republik Indonesia dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia.

Tugas utama SPC ialah melaksanakan keputusan GBC dan mengarahkan serta mengawasi badan-badan dibentuk dalam melaksanakan tugas masing-masing. Antara peranan pentingnya ialah untuk melaksanakan operasi-operasi keselamatan bersama yang intensif di perbatasan Malaysia - Indonesia yang memerlukan perancangan dan kerjasama yang lebih bersepadu.

 

PENGEMBANGAN PERANAN

Dalam tahun-tahun berikutnya SPC MALINDO telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan di kawasan sempadan. Badan ini telah diberi kuasa untuk mengambil inisiatif di bidang operasi dan menyelaras kegiatan badan-badan pelaksana operasi di bawah tanggungjawabnya. SPC menggariskan hanya masalah-masalah utama sahaja akan di bawa ke sidang Jawatankuasa Am Sempadan.

Pada tahun-tahun awal penubuhannya, pertemuan telah diadakan hanya setahun sekali secara bergilir. Di Sidang SPC MALINDO ke 10, keputusan dibuat supaya pertemuan diadakan dua kali setahun secara bergilir di Indonesia atau di Malaysia.

Sidang Ke 13 GBC MALINDO di Yogyakarta pada tahun 1984, telah memutuskan bahawa beberapa butiran Security Arrangements 1972 perlu diubahsuai. Hasil pengubahsuaian ini, sekarang telah dikenali sebagai Security Arrangement 1984. Ketetapan telah dibuat dalam Security Arrangement 1984 ini bahawa tugas – tugas utama SPC MALINDO adalah memelihara keamanan di sepanjang perbatasan kedua negara. Selain itu SPC juga diarah membentuk badan-badan tetap atau “ad-hoc” untuk menangani setiap masalah yang boleh mempengaruhi pertahanan dan kestabilan keselamatan di sepanjang kawasan sempadan.

Struktur organisasi dalam mengekalkan kerjasama keselamatan daerah perbatasan MALINDO seperti yang dirangka dalam Security Arrangements adalah :-

a)    GBC MALINDO merupakan jawatankuasa bersama Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia yang merumuskan dasar umum berhubung dengan usaha keselamatan di kawasan sempadan kedua negara.

b)    SPC MALINDO merupakan jawatankuasa pelaksana harian atau jawatankuasa kerja GBC MALINDO. SPC MALINDO bertanggungjawab ke atas badan-badan operasi dan bukan operasi untuk menyelenggara kerjasama keselamatan di daerah perbatasan.

c)    Walaupun GBC MALINDO bertanggungjawab kepada negara masing-masing, SPC MALINDO hanya bertanggungjawab kepada GBC MALINDO.

Badan-badan operasi dan bukan operasi yang diselaraskan dan bertanggungjawab kepada SPC MALINDO adalah:-

a)    Jawatankuasa Kawalan Operasi Terkoordinasi atau Coordinated Operations Control Committee (COCC)

 

Jawatankuasa ini menyelaras semua operasi keselamatan yang dilaksanakan oleh badan-badan operasi di kawasan sempadan bersama kedua negara.

 

b)    Jawatan Kuasa Latihan Bersama (JKLB)

 

Jawatankuasa ini bertanggungjawab menyelaras semua kerjasama latihan di antara kedua-dua negara yang dilaksanakan oleh badan-badan latihan di bawahnya.

 

c)    Kelompok Kerja Sosio-Ekonomi (KK SOSEK)

 

Tugasnya ialah untuk menyelaras aktiviti sosio-ekonomi yang dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawabnya dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk di kawasan perbatasan bersama.

 

d)    Kelompok Kerja Mencari dan Menyelamat atau Search and Rescue (KK SAR)

 

Tugasnya ialah melaksanakan aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku kemalangan maritim dan udara di daerah sempadan kedua negara.

Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Majlis Keselamatan Negara.
Subuh 05:45
Syuruk 07:04
Zohor 13:06
Asar 16:29
Maghrib 19:04
Isyak 20:18