JAWATANKUASA AM SEMPADAN MALAYSIA - INDONESIA

JAWATANKUASA AM SEMPADAN MALAYSIA - INDONESIA (MALINDO)

Latar Belakang

 

Kedudukan geopolitik dan sosio-ekonomi Malaysia – Indonesia dewasa ini telah menjadikan mereka negara ahli yang terserlah di kalangan negera-negara ASEAN dan negara-negara wilayah Asia Pasifik. Kedua-dua negara terkenal di mata dunia kerana kedinamikan ekonominya dan sebagai penyumbang kepada kestabilan dan keselamatan serantau.

 

Kemajuan ekonomi yang kini dimiliki tidak akan tercipta tanpa adanya faktor keamanan. Faktor tersebut memungkinkan Malaysia dan Indonesia mengatasi pellbagai masalah yang wujud baik di peringkat nasional ataupun antarabangsa. Dalam erti kata lain, keamanan membolehkan kedua-dua negara mencapai aspirasi nasional masing-masing di samping menunai dan mengembangkan peranan antarabangsa dalam pelbagai lapangan untuk mewujudkan tata kehidupan dunia yang lebih aman pada masa akan datang.

 

Detik bersejarah hubungan Malaysia dan Indonesia bermula tiga puluh tahun lalu dengan termeterainya perjanjian bagi memulihkan hubungan antara kedua negara pada 11 Ogos 1966. Perjanjian tersebut dibuat  atas rasa kesedaran betapa perlunya mengadakan perhubungan yang lebih erat bagi membolehkan penguatkuasaan peraturan keselamatan di kawasan sempadan bersama kedua-dua negara. Pemulihan hubungan itu tidak hanya mengakhiri konfrantasi di antara Indonesia dan Malaysia, tetapi sekaligus mewujudkan persefahaman yang mendalam dan kerjasama yang akrab antara kedua negara dalam pelbagai bidang, termasuk keselamatan.

 

Kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Indonesia seterusnya melalui evolusi pemantapan berikutan perjanjian Peraturan Keselamatan (Security Arrangement) yang ditandatangani pada 9 Mac 1967 dan pengubahsuaian peraturan tersebut yang ditandatangani pada 6 April 1972. Salah satu artikel dalam Peraturan Keselamatan 1972. Salah satu artikel dalam Peraturan Keselamatan 1972 menggariskan keperluan penubuhan Jawatankuasa Am sempadan (General Border Committee atau GBC MALINDO). Jawatankuasa ini merupakan sebuah badan tetap untuk mengendalikan kerjasama keselamatan terutama bagi melaksanakan operasi-operasi ketenteraan untuk mengatasi ancaman musuh bersama di sepanjang sempadan kedua negara.

 

Pada saat ini GBC MALINDO sudah berusia 42 tahun. Perhubungan tersebut mencerminkan persahabatan dan kerjasama erat antara kedua negara, terutama hal-hal yang membabitkan pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera, Pasukan Polis, dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

 

DETIK-DETIK PEMBENTUKAN GBC MALINDO

 

Di kota kecil Parapat – sebuah kota pergunungan yang indah dengan pemandangan menjangkau ke Danau Toba, wilayah Sumatra Utara, Indonesia- pada 23 Julai 1972, bermulalah suatu forum empat hari antara Pemerintah Republik Indonesia dan Kerajaan Malaysia. Ia merupakan forum penting untuk membincangkan penubuhan dan bentuk-bentuk kerjasama keselamatan di kawasan sempadan kedua Negara yang dikenali sebagai General Border Committee Malaysia-Indonesia (Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia – Indonesia), disingkatkan sebagai GBC MALINDO.

 

GBC MALINDO adalah badan tertinggi di bidang kerjasama keselamatan di sepanjang kawasan perbatasan kedua negara. Badan ini berbentuk suatu forum tetap untuk menyusun langkah-langkah keselamatan bersama di sepanjang sempadan, baik sempadan darat mahupun kawasan perairan dan ruang udara.

 

Berdasarkan organisasi pentadbiran kerajaan kedua-dua negara, Ketua GBC MALINDO untuk Republik Indonesia ialah Menteri Pertahanan dan Keamanan (MENHANKAM) / Panglima Angkatan Bersenjata (PANGAB), dan Kerajaan Malaysia pula diketuai oleh Menteri Pertahanan. Walaubagaimanapun pada tahun-tahun awal penubuhannya, Malaysia telah diketuai oleh Menteri Dalam Negeri. Di persidangan Pertama GBC MALINDO pada 24 dan 25 Julai 1992 di Parapat, Pengerusi Bersama ialah Jen. TNI Tn Maraden Panggabean dan Tun (Dr.) Ismail Al Haj Bin Dato’ Abdul Rahman.

 

Di persidangan Pertama GBC MALINDO di Parapat inilah delegasi kedua pihak telah menyusun langkah-langkah untuk menjamin keselamatan kawasan sempadan bersama, terutama dari ancaman yang bersifat politik dan ketenteraan oleh anasir-anasir komunis yang ingin mewujudkan negara komunis Kalimantan Utara.

 

Keakraban dan kesefahaman yang dimulakan di Parapat telah seterusnya diikuti oleh persidangan-persidangan GBC MALINDO yang lain. Jawatankuasa ini telah mencapai banyak kejayaan yang tidak ternilai. Ia bukan sahaja mewujudkan keselamatan di wilayah dan untuk masyarakat kedua negara di sepanjang sempadan, tetapi secara tidak langsung telah juga menghasilkan kawasan aman masakini di Asia Tenggara.

 

LATAR BELAKANG PEMBENTUKAN GBC

 

Pembentukan Jawatankuasa Am Sempadan MALINDO tidak muncul secara tiba-tiba. Ia telah disemai kira-kira enam tahun setelah tercapainya persetujuan pemulihan hubungan yang ditandatangani pada 11 Ogos 1966. Pemulihan hubungan tersebut sekaligus menandakan tamatnya konfrontasi antara kedua negara. Sejak saat itu aktiviti penguatkuasaan peraturan keselamatan bersama telah dilakukan tanpa menjejaskan kedaulatan negara masing-masing.

 

Pada masa itu, Indonesia dan Malaysia menghadapi masalah ancaman keselamatan yang sama. Musuh kedua-dua negara ketika itu ialah golongan pemisah komunis Parti Gerakan Rakyat Sarawak / Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PGRS / PARAKU) serta sisa-sisa Gerakan 30 September / Parti Komunis Indonesia (G-30-S / PKI) yang bergabung di sepanjang perbatasan Kalimantan Barat-Sarawak. Mereka melakukan akiviti-aktiviti gerila dalam rangka mewujudkan negara komunis Kalimantan Utara. Kerjasama penumpasan PGRS / PARAKU menerusi operasi tentera yang disusun bersama dirasakan perlu untuk mengamankan wilayah dan keselamatan penduduk di sepanjang sempadan.

 

Perlu di catatkan bahawa meskipun gerakan PGRS/PARAKU mempunyai motif-motif dan aspirasi politik, namun operasi-operasi yang dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia tidak lebih daripada tindakan-tindakan berbentuk pertahanan demi keselamatan wilayah dan warga negaranya yang tinggal di sepanjang daerah perbatasan.

Setelah beberapa tahun menjalankan operasi-operasi tersebut, pencapaian serta pengalaman yang diperolehi telah mendorong kedua belah pihak untuk meningkatkan kerjasama yang lebih efektif. Langkah ini adalah perlu kerana ketika itu pihak komunis sedang meningkatkan ancaman keselamatan di kawasan sempadan.

 

Semasa kunjungan TYT Tan Sri H.A. Thalib Gelar Depati Santio Bawo, Duta Besar Indonesia ke Malaysia ke atas Tun (Dr.) Ismail Al Haj Bin Dato’ Haji Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, pada bulan Julai 1971,  beliau telah membawa cadangan dari Pemerintah Republik Indonesia untuk menubuhkan sidang tahunan dua hala di peringkat Menteri untuk membincangkan masalah keselamatan di sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat. Duta Besar Indonesia merasakan bahawa kerjasama yang wujud pada masa itu hanyalah perbincangan lazim antara kedua-dua Panglima Briged kawasan perbatasan dalam mengendalikan operas-operasi ketenteraan. Beliau berpendapat masalah-masalah selain dari operasi ketenteraan patut juga dibawa ke pengetahuan atasan.

 

Tun (Dr.) Ismail Al Haj telah memperakui akan pentingnya cadangan tersebut tetapi tidak memberi apa-apa komen mengenainya. Cadangan yang serupa juga telah dibincangkan antara Menteri Luar Negeri Indonesia dengan pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia, yang diketuai oleh Ketua Turus Angkatan Tentera, pada awalnya bulan sama dengan pengetahuan Menteri Pertahanan Malaysia.

 

Pada 6 Mac 1972, dalam forum yang diadakan khususnya untuk mengkaji semula isu-isu keselamatan di kawasan sempadan kedua negara, pihak Indonesia telah membentangkan draf kerjasama lebih erat di bawah tajuk “Memorandum Persefahaman dalam Bidang Pertahanan dan Keamanan antara Indonesia dan Malaysia.

 

Sebulan kemudian, suatu perjanjian keselamatan bersama yang dinamakan “Peraturan-peraturan dalam Bidang Keselamatan di Kawasan Sempadan antara Pemerintah Republik Indonesia dan Kerajaan Malaysia”, telah di tandatangani di Kuala Lumpur sebagai “Security Arrangements 1972: MALINDO”. Perjanjian itu di tandatangani oleh Jeneral TNI Tun Maraden Panggabean bagi pihak kerajaan Indonesia , dan Tun (Dr.) Ismail Al Haj Bin Dato’ Haji Abdul Rahman bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Artikel 1 dokumen Security Arrangement 1972 menyebutkan tentang penubuhan Jawatankuasa Am Sempadan (GBC-MALINDO). Jawatankuasa ini merupakan forum untuk kedua Negara membincangkan operasi dan tindakan ketenteraan bagi membendung dan sekaligus menghapuskan ancaman komunis di sepanjang sempadan bersama. Sidang Pertama GBC-MALINDO telah diadakan di Parapat, Medan dari 24 hingga 25 Julai 1972. Persidangan selanjutnya diadakan setiap tahun dengan kedua-dua Negara menjadi tuan rumah secara bergilir.

 

 

ORGANISASI GBC

 

Sidang Pertama GBC MALINDO yang berlangsung dari 24 hingga 25 Julai 1972 di Parapat, Sumatra Utara, Indonesia telah merumuskan supaya masalah-masalah keamanan di kawasan sempadan wilayah barat dan kawasan sempadan wilayah timur. Pemisahan ini dirasakan perlu memandangkan keadaan dan bentuk masalah yang sangat berbeza diantara kedua-dua wilayah tersebut. Atas persetujuan bersama, maka terbentuklah dua Jawatankuasa Kawasan Sempadan tahap staf, iaitu Jawatankuasa Kawasan Sempadan Timur (Regional Border Committee East, atau RBC East) dan Jawatankuasa Kawasan Sempadan Barat (Regional Border Committee West atau RBC West) yang merupakan sub organisasi GBC MALINDO.

 

Kedua-dua jawatankuasa kecil ini dibentuk untuk melaksanakan kegiatan operasi yang dipersetujui dalam Sidang Pertama GBC MALINDO. Ia melibatkan usaha untuk menentukan keselamatan di perbatasan bersama di darat, Selat Melaka dan Laut China Selatan.

 

RBC West mengadakan Sidang Pertama dari 25 hingga 26 September 1972 di Kuala Lumpur, Malaysia, manakala RBC East pula pada 13 hingga 14 September 1972 di Kuching, Malaysia. Pertemuan yang berjalan lancar dan penuh keakraban telah membincangkan tentang tatacara komunikasi dan hal-hal lain yang berkaitan dengan pelaksanaan operasi bersama.

 

Di perbincangan awal yang telah diadakan,kedua-dua Jawatankuasa Kawasan telah merumuskan beberapa agenda untuk dibincangkan oleh Jawatankuasa semasa mesyuaratnya. Antara agenda tetapnya ialah membincangkan operasi bersama di kawasan sempadan darat dan operasi maritim di wilayah sempadan perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan. Selain membincangkan tatacara kerjasama operasi, kegiatan perisikan juga diselaraskan dalam rangka menghadapi ancaman gerombolan komunis di wilayah perbatasan.

 

Disebabkan perubahan sruktur organisasi Departmen Pertahanan dan Keamanan Republik Indonesia dan untuk melicinkan lagi pelaksanaan kerjasama, Sidang Ke 4 GBC MALINDO pada 19 Disember 1974 di Jakarta, memutuskan untuk membubarkan Jawatankuasa Kawasan (Regional Border Committee) dan membentuk Staff Planning Committee (SPC) sebagai gantinya.

 

Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Majlis Keselamatan Negara.
Subuh 05:45
Syuruk 07:04
Zohor 13:06
Asar 16:29
Maghrib 19:04
Isyak 20:18